B-Side WIEF IdeaLab sasar perkukuh ekosistem keusahawanan ASEAN

WIEF IdeaLab sasar perkukuh ekosistem keusahawanan ASEAN

WIEF IdeaLab sasar perkukuh ekosistem keusahawanan ASEAN

Oleh Shahrul Izwan Naser

Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) tahun ini bermula dengan fokus kepada Keusahawanan dan Peluang Baru menerusi IdeaLab 2017.

IdeaLab 2017 yang dianjurkan oleh Rangkaian Pemimpin Muda WIEF (WYN) baru sahaja melabuhkan tirainya minggu lepas. Persidangan mini yang diadakan selama 2 hari itu (2-3 Ogos 2017) pastinya ingin menyampaikan mesej yang sangat jelas; ingin memperkukuh ekosistem keusahawanan di rantau Asia Tenggara. IdeaLab 2017 telah dihadiri hampir 400 peserta dari 35 buah negara.

"Berada di tengah-tengah kebangkitan ekonomi dunia, rantau ASEAN sudah pasti menawarkan banyak peluang kepada startup dan usahawan. Dengan inovasi dan keusahawanan menjadi agenda penting di kebanyakan negara di rantau ini termasuk Malaysia, menjadikan startup sebagai salah satu pemacu transformasi pasaran dan sosio-ekonomi," kata Ebrahim Patel, Pengerusi WYN.

Menurut Ebrahim, pemodal teroka global sentiasa mencari peluang pelaburan dalam ekosistem startup ASEAN melihatkan bakat yang hebat dan potensi pertumbuhan yang positif.

"Kami bawakan pemodal teroka global dan pemodal awal untuk melabur dalam syarikat yang berada dalam kategori 'seed' hingga ke 'pasca seed'. Ini termasuk startup yang masih lagi berada di peringkat 'ideation' di rantau ini. Inilah nilai tambah yang ditawarkan oleh WIEF IdeaLab2017 selaras dengan nilai yang diberikan oleh Yayasan WIEF dan program-program kami kepada para peserta," tambah Ebrahim lagi.

Pada sesi IdeaLab Pitch, 31 startup ASEAN membentangkan idea mereka dalam usaha untuk mendapatkan pelaburan daripada pemodal teroka global yang menyertai sesi kali ini. Daripada 10 startup yang disenaraipendek ke sesi pitch terakhir, Moneybay, Zap Zap Math, CheQQme, Glueck, BolehCompare dan Moovby mencuri tumpuan para pemodal teroka. CSX dari Singapura juga terpilih ke pusingan akhir dan kini semakin mendapat perhatian dalam bidang data raya dan analitik.

Antara agenda yang terkandung dalam WIEF IdeaLab 2017 adalah:

1. Ideation Stage - topik diskusi relevan kepada startup di rantau ASEAN dipilih dengan teliti untuk dibincangkan oleh pemimpin industri.

2. Networking Pods - platform atas-talian ke secara realiti (O2O) yang mempertemukan para peserta untuk berbincang dan mendapatkan tips di sebuah tempat khusus.

3. IdeaClinic - di mana startup menerima bimbingan secara dekat mengenai perkara-perkara penting untuk menjalankan bisnes mereka seperti khidmat guam, perhubungan awam dan aspek pemasaran.

4. Business Anonymous - sebuah ruang khas untuk startup di rantau ini untuk mereka berkongsi pengalaman dalam memajukan bisnes mereka.

5. Startup Ecosystem Fair - pameran yang menawarkan produk dan perkhidmatan daripada pemain-pemain utama ekosistem startup di Malaysia dan di rantau ASEAN.

6. IdeaLab Pitch - sesi pembentangan bisnes di mana startup berusaha untuk mendapatkan pembiayaan atau penyelesaian terbaik daripada industri.

WIEF IdeaLab 2017 adalah selaras dengan lima topik tumpuan industri yang akan dibincangkan ketika Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-13 tahun ini --- Keusahawanan dan Peluang Baru. Topik lain yang akan dibincangkan adalah Sains Disruptif, Teknologi dan Inovasi, Produk dan Perkhidmatan Halal, Undang-undang dan Kewangan Islam serta Seni, Budaya dan Reka Bentuk.

"Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) semakin menghampiri penanda aras pencapaian tahun 2025, dengan menyaksikan pertumbuhan drastik dalam e-dagang dan ekonomi digital dengan penciptaan nilai sehingga USD200 bilion untuk jangka masa 10 tahun akan datang. WIEF IdeaLab ini merupakan platform yang bertepatan dengan bidang Keusahawanan dan Peluang Baru. Ini merupakan matlamat utama dan apa yang WIEF perjuangkan," kata Tan Sri Ahmad Fuzi, Setiausaha Agung Yayasan WIEF.

WIEF IdeaLab 2017 merupakan salah satu acara penting dalam siri menuju ke Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) yang ke-13, bakal diadakan pada 21-23 November ini di Kuching, Sarawak. Bertemakan 'Perubahan Disruptif; Impak dan Cabaran', acara tersebut juga memberikan tumpuan khas kepada startup dengan kesinambungannya di pentas IdeaPad, berlangsung serentak ketika diskusi utama.

Bagi mendapatkan info lanjut mengenai Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-13, sila layari https://wief.org/forum/13/

###

POSTED IN Business TAGGED