B-Side Ulu Muda kian terancam, bekalan air di utara semenanjung turut terancam

Ulu Muda kian terancam, bekalan air di utara semenanjung turut terancam

Ulu Muda kian terancam, sumber bekalan air di utara semenanjung turut terancam

Oleh Shahrul Izwan Naser

Mungkin ada di antara kita tidak mengetahui mengenai Hutan Simpan Ulu Muda yang terletak di utara semenanjung tanahair. Begitu juga yang tidak mengetahui kepentingan Hutan Simpan Ulu Muda yang merupakan kawasan tadahan air bagi menampung keperluan air di negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Sebanyak 96.5% bekalan air terawat di Kedah dan 80% bekalan air terawat di Pulau Pinang datangnya daripada 3 empangan buatan manusia -- Muda, Pedu dan Ahning -- yang membentuk punca air untuk Sungai Muda dan Sungai Kedah.

Ulu Muda juga merupakan sumber air untuk 'periuk nasi' negara apabila  sawah padi di Kedah dan selatan Perlis menerima bekalan air daripada punca hutan simpan tersebut. Bekalan air dari Ulu Muda juga membolehkan sawah padi di negeri Kedah dan kawasan dataran pantai di selatan negeri Perlis mengamalkan penanaman dua kali setahun.

Ini menyumbang kepada kira-kira 45% hingga 50% daripada pengeluaran beras negara dan merupakan sumber pendapatan bagi 55,000 buah keluarga. Ini bermakna Ulu Muda merupakan hutan tadahan air yang berkepentingan kepada negara.

Dengarkan podcast temubual ini:

PARADISE IN PERIL: THE GREATER ULU MUDA FOREST SPECIAL

Selain itu, Ulu Muda juga menjadi bekalan air utama bagi menjana industri berat, kilang elektronik dan sektor pelancongan di Kedah dan Pulau Pinang -- menarik lebih RM32 bilion nilai pelaburan untuk Bandar Teknologi Tinggi Kulim dan menghasilkan lebih 30 ribu pekerjaan berpendapatan tinggi.

Namun kini, Ulu Muda mengalami ancaman pembalakan dan pemburuan haram. Menurut laporan The Star, terdapat kesan pembalakan baru di hutan simpan tersebut berdekatan kawasan kritikal empangan Muda di Sik, Kedah. Beratus-beratus kayu balak disusun rapi antara satu sama lain. Kes terbaru ini membuktikan kerajaan Kedah memerlukan sumber pendapatan bagi meneruskan agenda pembangunan di negeri tersebut.

Laporan The Star mengenai aktiviti pembalakan terbaru di Ulu Muda

Sebelum ini, pemimpin Negeri dan Persekutuan mengiktiraf akan kepentingan Ulu Muda. Sepertimana laporan media pada tahun 2003, kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membayar kerajaan Kedah sebanyak RM100 juta sebagai pampasan untuk tidak melakukan pembalakan di hutan tersebut.

Namun begitu, setelah Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Perdana Menteri, bayaran pampasan tersebut tidak terlaksana.

Pembalakan membuka peluang untuk pemburuan haram

Aktiviti-aktiviti berisiko tinggi seperti pembalakan ini boleh mengakibatkan kemusnahan ekosistem serta kepelbagaian biodiversiti di Ulu Muda dalam jangka masa panjang. Saiz Ulu Muda yang berkeluasan hampir 2 kali ganda Singapura bersempadankan Yala, Thailand dan Baling di utara Perak dikatakan sebagai satu-satunya belantara tanah pamah yang masih terpelihara.

"Dengan pembukaan jalan-jalan baru untuk tujuan pembalakan, semestinya mendedahkan ancaman kepada hidupan liar yang terdapat di Ulu Muda."

"Selain itu, jalan-jalan baru ini juga membuka peluang kepada pemburu haram untuk memudahkan akses mereka untuk memasang jerat dan membawa keluar hidupan liar yang terdapat di sana, " kata Hymeir Kamarudin, aktivis alam sekitar yang memperjuangkan isu-isu berkaitan Ulu Muda.

Hymeir Kamarudin adalah operator Earth Lodge yang menjalankan aktiviti eko-pelancongan secara mampan dan terkawal demi mendidik masyarakat mengenai kepentingan Ulu Muda dan ekosistemnya kepada negara.

Earth Lodge telah bekerjasama dengan pelbagai pemegang taruh lain seperti WWF Malaysia, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan gabungan NGO mengenai Ulu Muda -- Friends of Ulu Muda (FoUM) menjalankan pelbagai inisiatif seperti pemasangan kamera kawalan hidupan liar, menjejaki spesies enggang hutan, kajian dan pemetaan sira (saltlicks) dan usaha konservasi populasi gajah di Ulu Muda.

Usaha mereka selama ini akan menjadi sia-sia jika tiada sebarang tindakan bagi menghentikan pembalakan, penerokaan tanah serta pemburuan hidupan liar secara haram di Ulu Muda.

Kepelbagaian fauna di Ulu Muda menggamit penyelidik

Terdapat lebih daripada 30 kawasan sira (saltlicks) di Ulu Muda, menjadikannya belantara yang mempunyai sira paling banyak di Malaysia. Sira sangat penting kepada hidupan liar untuk mendapatkan sumber mineral dan nutrien bagi keperluan badan mereka.

Dengan bilangan sira yang banyak di Ulu Muda, sudah tentunya menarik pelbagai jenis hidupan liar di Ulu Muda terutamanya gajah. Ramai penyelidik menjadikan Ulu Muda sebagai lapangan kajian mereka mengenai populasi gajah. Ditambah pula dengan keadaan Ulu Muda yang dipenuhi padang rumput di sepanjang sungai, menjadikannya habitat yang sesuai untuk populasi gajah.

"Kehadiran gajah ke sira dan pesisiran sungai di Ulu Muda, membuka jalan seumpama lebuh raya kepada hidupan liar lain ke sira tersebut. Ini memudahkan penyelidik untuk mengkaji hidupan liar yang jarang dilihat dengan lebih dekat."

"Keadaan muka bumi Ulu Muda seperti dinyatakan tadi, ia benar-benar mennggamit penyelidik untuk mengkaji ekosistem di sana. Kajian di Ulu Muda masih belum mencukupi untuk kita benar-benar faham ekosistem tersebut," memetik kata-kata Dr Wong Ee Phin, seorang penyelidik populasi gajah.

Selain menjadi habitat kepada populasi Gajah, Ulu Muda juga menjadi rumah kepada pelbagai jenis fauna yang lain seperti tapir Malaya, beruang madu, kambing gurun dan 300 spesies burung seperti enggang hutan.

Ulu Muda turut merekodkan kehadiran harimau bintang dan memerang hidung rata yang jarang dapat dilihat di hutan belantara Malaysia.

Mengapa tidak Ulu Muda diwartakan sebagai Taman Negara/Negeri?

Menariknya di sebalik kepentingan Ulu Muda sebagai tapak biodiversiti negara serta kawasan tadahan air bagi negeri-negeri utara semenanjung Malaysia, umum mungkin terkejut mengetahui akan status Ulu Muda yang tidak diwartakan mengikut mana-mana peruntukan undang-undang kerana kawasan itu tidak digazetkan sebagai Taman Negara/Negeri mahupun kawasan tadahan air.

Menurut Prof Dr Chan Ngai Weng daripada NGO Water Watch Penang berkata, kerajaan Kedah seharusnya mengazetkan kawasan itu sebagai kawasan tadahan air.

"Apabila Ulu Muda digazetkan, maka tidak boleh melakukan pembalakan di situ. Kita amat bimbang tentang kesan pembalakan di kawasan tadahan."

"Air hujan tidak mengalir ke dalam tanah, ia mengalir ke sungai dan kemudian ke laut."

"Pembalakan akan mendedahkan tanah. Hakisan air hutan dan hakisan permukaan akan menyebabkan mendapan ke sungai, mengakibatkan pencemaran air dan air sungai akan menjadi cetek."

"Keadaan itu akan menyebabkan kapasiti air akan berkurangan," kata Prof Dr Chan Ngai Weng sambil menambah bahawa kualiti air yang dibekalkan kepada orang ramai di kawasan sekitar turut terjejas.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan dan negeri mengambil langkah-langkah di Ulu Muda supaya hakisan tanah, mendapan tanah dan kelodak tanah berhenti daripada mengalir ke sistem saliran dan perparitan.

Kapasiti penyimpanan Empangan Muda adalah 60.3% pada 1 Januari 2017 dan telah menurun kepada 27.3% pada 7 Mac lalu. Situasi itu membuktikan pembalakan telah menyebabkan berlaku defisit air.

Berdasarkan realiti itu, semua aktiviti pembalakan dan kuari di kawasan Ulu Muda mesti dihentikan serta-merta. Kerajaan negeri tidak harus memberikan sebarang konsesi pembalakan kepada mana-mana syarikat di situ.

Kerajaan Persekutuan juga perlu menunaikan janji untuk membayar pampasan kepada kerajaan Kedah kerana menghentikan pembalakan di situ.

Memandangkan kepentingan hutan di situ bagi memastikan sumber air mentah sentiasa mencukupi, gabungan NGO menerusi Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Kedah mewartakan keseluruhan Hutan Simpan Ulu Muda dan rizab hutan lain di sekitarnya sebagai kawasan tadahan air di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Anda juga dapat membantu memastikan kelestarian dan kemampanan Ulu Muda sebagai khazanah alam sekitar dengan menyokong petisyen untuk mempertahankannya di SINI.

###

POSTED IN Business TAGGED Ulu Muda, Earth Lodge, Water Watch Penang, Kedah, Selamatkan Ulu Muda