TTDI vs DBKL - Apa yang anda perlu tahu

Politics
By Ariff Rose

Text size


Oleh Shahrul Izwan Naser

Pada Jun 2016, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengemukakan notis cadangan pembangunan sebahagian tanah yang terletak dalam Taman Rimba Kiara. Taman Rimba Kiara merupakan salah satu taman awam terancang yang masih tinggal dengan saiz seumpamanya --- berkeluasan lebih 300 padang bola sepak.

Taman Rimba Kiara merupakan kawasan hijau yang sering menjadi tumpuan penduduk sekitar, khususnya mereka yang tinggal di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan warga Kuala Lumpur, umumnya. Cadangan pembangunan di Taman Rimba Kiara telah mendapat bantahan daripada Persatuan Penduduk TTDI menerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Taman Rimba Kiara.

Mengapa cadangan pembangunan ini dibantah? Cadangan pembangunan ini merangkumi lapan blok 42 hingga 52 tingkat kondominium mewah dengan lebih kurang 1800 unit ditawarkan. Terdapat juga apartment mampu milik 29 tingkat dengan 350 unit ditawarkan, sekaligus meningkatkan kepadatan penduduk di TTDI daripada 74 orang seekar kepada 979 orang seekar.  Selain itu, sebuah lebuhraya dengan enam lorong turut sama dicadang untuk dibina merentasi TTDI.

Dengarkan podcast temubual ini:

TTDI VS DBKL: GREEN LUNG OR BUILT BLOCKS?

 

Namun begitu, penduduk TTDI mengalu-alukan pembinaan rumah mampu milik untuk penetap rumah panjang yang menunggu sejak tahun 1970-an bagi mendapatkan kediaman tetap mereka.

Setelah petisyen yang ditandatangani oleh 5000 orang dan beberapa pucuk surat dihantar kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah Persekutuan, namun tiada sebarang maklumbalas, kini penduduk TTDI nekad untuk mengambil tindakan undang-undang jika cadangan pembangunan itu diteruskan juga.

 

Taman Rimba Kiara --- bagaimana ia bermula

Beberapa dekad lalu, Taman Rimba Kiara merupakan sebahagian daripada ladang getah di Bukit Kiara. Apabila ladang getah Bukit Kiara diperolehi oleh kerajaan, sebahagian tanah merangkumi Taman Rimba Kiara diperuntukkan bagi tujuan nurseri; membekalkan pokok dan tumbuhan untuk Taman Botani Kuala Lumpur.

Para pekerja ladang getah tersebut ditempatkan semula ke rumah panjang bersebelahan nurseri itu dan dijanjikan kediaman tetap oleh pihak berkuasa. Ramai di antara mereka diambil bekerja di nurseri tersebut yang kini menjadi Taman Rimba Kiara.

 

Impak pembangunan baru ini kepada TTDI

Di bawah Perkara 5 dalam Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982, penduduk yang menerima kesan langsung daripada pembangunan boleh mengemukakan bantahan mereka kepada DBKL.

Kemudian Datuk Bandar Kuala Lumpur akan meneliti bantahan terutamanya pembangunan yang melibatkan tukar-guna tanah, persempadanan dan kepadatan penduduk. Penduduk TTDI meyuarakan bantahan mereka menerusi saluran undang-undang yang dinyatakan di atas, namun tiada sebarang jawapan daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah Persekutuan.

 

Penduduk TTDI bimbang mengenai kesan langsung sosial dan alam sekitar daripada pembangunan tersebut kepada TTDI untuk jangka masa panjang. Dengan pembangunan baru ini, akan menambahkan lagi kesesakan di TTDI. Hafiz Abu Bakar, Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI menyatakan pembangunan tersebut akan mengakibatkan kekurangan ruang awam, kawalan trafik yang baik dan kemudahan parkir.

Persatuan Penduduk TTDI bersetuju jika pembangunan ini diteruskan demi membina rumah mampu milik kepada penetap rumah panjang tersebut tanpa menjejaskan Taman Rimba Kiara walau apa sekalipun alasannya. 

 

Projek akan tetap diteruskan - Ku Nan

Sementara itu, Kementerian Wilayah Persekutuan bertegas untuk meneruskan cadangan pembangunan di Taman Rimba Kiara dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur juga menyangkal dakwaan bahawa projek itu nanti akan mengambil sebahagian tanah di Taman Rimba Kiara.

“Pembangunan telah mengambil kira kepentingan kawasan rekreasi itu kepada masyarakat dan ia perlu dilaksanakan segera bagi melunaskan janji kerajaan untuk menyediakan rumah kepada bekas pekerja estet di kawasan itu, yang kini hanya menghuni rumah panjang," kata Datuk Seri Tengku Adnan.

Namun nada berbeza disuarakan oleh Leon Koay, wakil Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Taman Rimba Kiara.

“Kenyataan pihak berwajib bahawa projek itu nanti tidak akan melibatkan taman rekreasi tersebut adalah tidak tepat.”

“Kami telah mendapatkan beberapa dokumen dan dokumen terbaru yang kami dapati daripada Jabatan Ukur mendapati ukuran tanah yang diberikan hakmilik kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (pemaju) turut melibatkan sebahagian tanah di Taman Rimba Kiara iaitu 47.5% daripada keseluruhan saiznya,” Leon Koay mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan.

Keadaan Taman Rimba Kiara kini

Cadangan Pembangunan Di atas tapak Taman Rimba Kiara

Persatuan Penduduk TTDI juga menyatakan terdapat persoalan konflik kepentingan dalam projek ini kerana Menteri Wilayah Persekutan merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur pula adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutan --- pemaju projek tersebut.

 

Taman Rimba Kiara sebahagian daripada Draf Pelan Bandar Kuala Lumpur 2020

Berdasarkan beberapa dokumen awam dan Draf Pelan Bandar Kuala Lumpur 2020, Taman Rimba Kiara dikategorikan sebagai ruang awam terbuka sepertimana yang dinyatakan dengan jelas dalam Peta 161.

Ini telah menjadi persoalan kepada Persatuan Penduduk TTDI --- bagaimana ruang awam terbuka boleh ditukar-guna tanpa sebarang proses perundingan dengan orang ramai. Jika benar Taman Rimba Kiara termasuk sebahagian daripada projek tersebut, berapakah kos yang terlibat untuk Yayasan Wilayah Persekutuan untuk memiliki plot tanah tersebut. Penduduk TTDI dan masyarakat umum berhak untuk mengetahuinya.

 

Walaupun Yayasan Wilayah Persekutuan berkemungkinan mendapat hakmilik ke atas Taman Rimba Kiara, mereka tidak boleh membuat sebarang pembangunan ke atasnya kerana ia bercanggah dengan peraturan guna tanah sepertimana yang termaktub dalam Draf Pelan Bandar Kuala Lumpur 2020.

Untuk rekod, DBKL masih belum mengeluarkan sebarang kelulusan untuk projek ini. Datuk Bandar Kuala Lumpur juga belum berjumpa penduduk TTDI untuk berbincang mengenai kesan langsung pembangunan ini kepada mereka, sepertimana yang diperuntukkan dalam Perkara 5 dalam Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982. 

Bagi mengikuti perkembangan isu Taman Rimba Kiara, anda boleh melayari laman web rasmi yang dibangunkan oleh sukarelawan Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Taman Rimba Kiara, di SINI.