Siapa itu Zeshan B?

Di kala Presiden Trump menguatkuasa arahan larangan perjalanan ke Amerika Syarikat ke atas tujuh negara yang majoritinya negara-negara Islam, seorang penyanyi bernama Zeshan B sudah bersiap sedia untuk memberikan tindak balas ke atas arahan ‘tidak adil’ tersebut.

Beliau melancarkan lagu yang pernah dipopularkan oleh George Perkin pada tahun 1970 - sebuah hit R&B, ‘Cryin’ in the Streets’. Lagu tersebut menyampaikan mesej mengenai hak asasi dan lagu itu ditujukan oleh Zeshan B kepada Presiden Trump. 

Tapi siapa itu Zeshan B? Penerbit dan penyampai BFM89.9, Ezra Zaid berkesempatan menemubual bakat yang sedang meningkat naik tersebut dalam slot Untitled #97 Feat. Vetted by Zeshan B.

Dua dunia berbeza bertembung


Zeshan Bagewadi dilahirkan di Chicago, Amerika Syarikat dalam sebuah keluarga pendatang berbangsa India Muslim, identiti muzik Zeshan Bagewadi terbentuk daripada dua dunia yang berbeza.

Rasa kecintaan ibubapanya terhadap muzik dari tanah kelahiran mereka telah mendedahkan Zeshan kepada muzik Indo-Pakistani. Walau bagaimana pun, bapanya salah seorang wartawan di India yang banyak menulis mengenai sastera dan muzik komuniti kulit hitam pada tahun 1960an dan 70an membuatkannya begitu meminati ekspresi seni komuniti tersebut.

Oleh kerana itu, Zeshan membesar dengan muzik yang didengari oleh bapanya seperti blues, soul dan R&B. Manakala ibunya, seorang pesara pekerja sosial di Hospital Cook County, Chicago sentiasa mengingatkan Zeshan untuk peka dengan nasib golongan minoriti di Amerika Syarikat.

Dua dunia yang berbeza tersebut bertembung dalam album sulungnya berjudul ‘Vetted’. Diterbitkan oleh Lester Snell (penggubah muzik terkemuka untuk artis seperti Isaac Hayes, Al Green dan Mavis Staples), ‘Vetted’ merupakan sebuah kompilasi muzik original Zeshan dan muzik hebat dari tahun-tahun 1960an dan 70an. Album tersebut dirakamkan di Memphis.

Pengiktirafan daripada the Rolling Stone

Zeshan tersenarai dalam 10 Artis Baru yang harus dikenali oleh the Rolling Stone bagi bulan April 2017 ini juga pernah membuat persembahan di hadapan dua Presiden Amerika Syarikat. Jimmy Carter pernah menyatakan nyanyian lagu kebangsaan oleh Zeshan merupakan yang terbaik pernah didengarinya. Barack Obama pula pernah menjemput Zeshan untuk membuat persembahan di White House.

‘Vetted’ pernah menduduki tangga kelapan di carta World Music, Billboard. Selain memaparkan muzik soul, ‘Vetted’ juga menampilkan ‘Meri Jaan’ (My Baby), sebuah lagu original yang dinyanyikan dalam bahasa Urdu dan ‘Ki Jana’ (Who Knows), sebuah puisi Sufi dalam bahasa Punjabi berusia 200 tahun. Selain itu, elemen improvisasi ala nyanyian Nusrat Fateh Ali Khan boleh didengari dalam lagu ‘Ain’t No Love in the Heart of the City’. 

Idola dan muzik untuk kebaikan

Ditanya mengenai siapakah artis yang banyak mempengaruhi Zeshan B? Beliau menjawab artis seperti Sam Cooke, Aretha Franklin, Curtis Mayfield, Donny Hathaway. Di mana mereka semua bermula dengan menyanyi di gereja.

 “Saya membesar dengar mendengar lagu-lagu berunsur ketuhanan. Saya selalu menyertai nyanyian nasyid di masjid dan menyanyi dalam koir gospel sewaktu di sekolah menengah.”

 “Tetapi muzik di India dan Pakistan mempunyai jenis ‘soul’ yang belum lagi dikomersilkan di Bollywood. Ia sangat asli dan mendalam terutama di Pakistan di mana rakyat mereka masih lagi dihimpit kemiskinan. Mereka menyanyi mengenai rasa cinta, rasa putus asa, penindasan - sama seperti yang dirasai oleh golongan komuniti di sini (Amerika Syarikat). Muzik saya semua mengenai perasaan itu, datang dari tempat paling dalam. Saya melihat muzik mempunyai niat yang baik, menuju ke arah kebaikan,” kata Zeshan B mengenai muziknya.

Anda boleh mendengarkan semula temubual BFM89.9 bersama Zeshan B menerusi podcast kami di bawah:

(UNTITLED) #97 FEAT. VETTED BY ZESHAN B

 

POSTED IN Lifestyle TAGGED