'Shopping Raya', Kelas Rakyat dan Projek Iqra'

Aidilfitri kian menjelang tiba. Suasana persiapan bagi menyambut ‘hari kemenangan’ umat Islam itu semakin dirasai. Aidilfitri bukan sahaja perayaan bagi mereka yang mampu dan berada; turut sama dirai oleh semua, tidak kira miskin, kaya, perbezaan status dan pangkat. Bagi golongan asnaf seperti fakir miskin dan anak-anak yatim adalah golongan yang paling diraikan kerana bantuan berterusan masyarakat Malaysia yang prihatin berkongsi rasa menyediakan persiapan buat mereka.

Sudah lima tahun berlalu, Projek Iqra' - sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) - membawakan keceriaan kepada golongan asnaf terutamanya anak-anak yatim dengan membawa mereka membeli-belah untuk menyambut hari raya. Program yang dinamakan ‘Shopping Raya’ tersebut merupakan cetusan idea Muhammad Solleh Mahfoz, Sharifah Sharina Syed Aswad dan Suhaimi Abdul Manan yang merupakan pengasas bersama Projek Iqra'. Edisi pertama ‘Shopping Raya’ bermula pada tahun 2012.

‘Shopping Raya’ bermula apabila Sharifah Sharina mendekati sebuah rumah anak yatim dan menyatakan hasratnya untuk menaja anak-anak di situ membeli-belah. Idea tersebut bukan sahaja diterima baik oleh pengurusan rumah anak yatim namun turut sama mendapat sambutan daripada rakan-rakan dan saudara-mara yang membantu dari segi wang ringgit dan mengiringi anak-anak yatim ketika membeli-belah.

Menariknya, program yang dianggap sebagai projek bersama rakan-rakan ini menjadi topik perbualan di garis masa Facebook dan mereka mula menerima pertanyaan bagaimana orang ramai boleh turut sama memberi sumbangan serta menjadi sukarelawan untuk ‘Shooping Raya’.

“Melihatkan sambutan orang ramai yang sangat memberangsangkan, kami mengambil keputusan untuk mendaftarkan secara rasmi Projek Iqra sebagai NGO. Ini bertujuan agar kami telus dan kepada para penderma dan penerima manfaat kami,” kata Sharifah Sharina.

Kutipan dana bermula beberapa bulan sebelum tibanya Ramadan. Manakala 2 minggu sebelum Aidilfitri, para sukarelawan akan mengiringi anak-anak yatim ke pusat membeli-belah --- menyediakan persiapan raya seperti baju baru dan kuih-muih. ‘Shopping Raya’ ini berlangsung serentak di beberapa bandar pilihan di Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Kuala Lumpur.

“Program ‘Shopping Raya’ sebelum ini hanya disertai oleh golongan muda yang sudah bekerja. Setelah beberapa kali dianjurkan, program ini mula mendapat sambutan daripada para remaja. Kami sungguh berbesar hati di atas kesudian mereka meluangkan masa membantu perjalanan ‘Shopping Raya’,” Muhammad Solleh menceritakan penglibatan golongan muda dalam ‘Shopping Raya’.

Projek Iqra' turut bekerjasama dengan beberapa syarikat korporat yang bukan sahaja menaja dana malah para pekerja mereka juga meluangkan masa sebagai sukarelawan. Tahun lepas, Projek Iqra' berjaya menaja 400 anak yatim tetapi tahun ini, mereka kurang mendapat sambutan. Kos kehidupan yang tinggi dan ketidaktentuan ekonomi negara dikatakan menjadi faktor penyumbang.

“Jika tahun-tahun lepas, kami memfokuskan kepada pakaian raya, tahun ini penerima manfaat kami akan menerima bantuan makanan.”

“Pada edisi ‘Shopping Raya’ yang lepas, kami turut membantu untuk menyediakan barangan keperluan asas untuk kegunaan isi rumah seperti makanan. Kami akan terus melakukan penambahbaikan ke atas program ini berdasarkan keperluan isi rumah,” kata Sharifah Sharina.

Ketika ini, Projek Iqra' meletakkan sasaran sebanyak RM35,000 bagi membantu 140 keluarga dengan peruntukan sebanyak RM250 untuk setiap keluarga bagi membeli keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung dan sebagainya. Penderma juga boleh memilih untuk menaja sebahagian daripada kos, contohnya mereka boleh menaja sekampit beras, jika tidak boleh menaja jumlah keseluruhan.

Penerima manfaat Projek Iqra' merupakan keluarga para pelajar Kelas Rakyat; sebuah lagi program yang dilaksanakan oleh Projek Iqra' dengan memberikan kelas tuisyen percuma kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah --- datang daripada golongan miskin bandar yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Keadaan flat PPR dengan kepadatan tinggi, tidak diurus dengan baik dan berdepan dengan masalah sosial lain; sedikit sebanyak menjadi penyumbang kepada keciciran pendidikan dan terperangkap dalam kemiskinan dalam kalangan anak-anak PPR.

“Ketika awal pembabitan, kami hanya memberi tumpuan kepada rumah kebajikan dan rumah anak-anak yatim. Namun mereka mempunyai sistem dengan pentadbir menguruskan rumah tersebut. Ini memudahkan masyarakat dan badan korporat untuk menghulurkan bantuan."

 “Sangat sukar untuk mendekati komuniti miskin bandar di PPR. Ia mengambil masa untuk bertemu dengan ketua flat dan keluarga yang tinggal di sana untuk kami mendengar permasalahan dan keperluan mereka. Sebagai contoh, program Kelas Rakyat kami mengambil masa 3 tahun untuk dilaksanakan secara menyeluruh di sesebuah PPR kerana kami perlu membina keyakinan dan perhubungan dengan komuniti tersebut,” Suhaimi menerangkan mengenai kesukaran yang dihadapi oleh Projek Iqra'.

Daripada pemberian secara rawak kepada rumah-rumah kebajikan, kini ‘Shopping Raya’ menjadi satu ganjaran kepada para pelajar Kelas Rakyat. Ia memberi galakan kepada mereka untuk memastikan mereka tidak ponteng kelas.

“Jika mereka berdisiplin dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan dalam pelajaran, kami akan berikan ganjaran dengan membawa mereka membeli-belah. Ibubapa mereka juga perlu memberi galakan kepada anak-anak untuk menghadiri Kelas Rakyat untuk menerima bantuan ‘Shopping Raya’,” tambah Suhaimi lagi.

Walaupun sambutan kurang memberangsangkan tahun ini, Projek Iqra' berharap akan dapat meneruskan ‘Shopping Raya’.

“Shopping Raya telah menjadi program penting kami dalam membantu golongan yang memerlukan. Ia bukan sekadar satu program bermusim untuk membantu mereka, ia turut memberi peluang kepada para sukarelawan kami untuk mendekati lebih rapat anak-anak di Kelas Rakyat selain daripada memberi ganjaran kepada anak-anak tersebut untuk menghadiri kelas.”

“Kami berharap dapat membuka sebuah pusat pendidikan untuk anak-anak yang kurang berkemampuan. Ilmu itu cahaya. Diharapkan apabila mereka dewasa kelak, mereka akan turut sama membantu komuniti lain untuk keluar daripada belenggu kemiskinan,” kata Solleh.

Bagi mengikuti perkembangan Projek Iqra' dan bagaimana anda boleh menghulurkan bantuan sila layari laman web mereka di SINI.

###

BONUS PODCAST

YANG TERCICIR JANGAN DITINGGALKAN | Solleh Mahfoz, Projek Iqra’ & Suhaimi Abdul Manan, Projek Iqra’

NO CHILD LEFT BEHIND | Sharifah Sharina Syed Azwad, Vice President, Projek Iqra & Rahmalizah Ali, Founder, i-Sina Academy