B-Side Ramadan Pertama buat Prashan

Ramadan Pertama buat Prashan

Ramadan Pertama buat Prashan

3 minggu sebelum Ramadan, BFM89.9 mendapat idea untuk mendokumentasi perjalanan seorang saudara baru yang pertama kalinya menjalani ibadah puasa. Kisah ini bukan mengenai ketahanan atau cabaran kepada seseorang untuk berpuasa, tetapi lebih sebagai seorang Muslim.

Prashan berusia 26 tahun, baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan suri hatinya baru-baru ini. Ini merupakan Ramadan pertama baginya. Inilah catatan diari 7 hari Ramadan Prashan.

Pertama Kali Berpuasa

"Apabila saya mula berpuasa, saya ada persoalan di minda, mampukah saya menjalani ibadah puasa?"

"Bapa mertua saya pun ada berkata, kalau tak dapat puasa penuh satu hari, puasa separuh hari pun tak mengapa. Saya tak nak buat separuh hari, saya dah dewasa, boleh melakukannya."

Ditanya mengenai pengalaman berpuasa dan berbuka puasa bersama ahli keluarga sebelah isterinya, ini jawapan Prashan.

"Perasaannya sangat berbeza. Kita dapat makan bersama dan bersembang. Inilah pengalaman saya buat kali pertama. Saya tak pernah merasai pengalaman makan malam bersama keluarga."

Dari apa yang kami dengar menerusi anak muda ini, hubungan Prashan dan keluarganya tidak berjalan dengan baik.

"Hubungan saya dan ibubapa tidak berapa baik semenjak akhir-akhir ini. Saya sudah lama tak bercakap dengan mereka. Saya pun diamkan diri sekejap. Bagi mereka sedikit masa untuk terima saya seadanya."

"Saya mahu mereka faham yang ini apa yang saya mahukan. Harap mereka boleh terima (saya)." luah Prashan dalam video diarinya.

Cabaran Berpuasa

Setiap amalan yang baik itu tidak datang dengan senang. Pasti akan ada cabaran dan halangan. Begitu juga halnya dengan Prashan.

"Kalau di pejabat, macam-macam bau datang dari pantri. Buat saya rasa geram dan lapar!" Prashan berjenaka mengenai cabaran yang dihadapinya di pejabat.

"Bila kita berpuasa ni, tenaga kita sekadar mencukupi berbanding rakan-rakan yang tidak berpuasa yang tenaga mereka sangat penuh. Kalau mereka nak kenakan saya, saya berserah sajalah," seloroh Prashan lagi.

Solat Terawih bersama keluarga

Prashan turut sama merasai pengalaman menunaikan solat terawih bersama keluarganya.  

"Boleh tahan juga lah. Pak cik saya ada ajar saya mengenai solat terawih ni. Ini sesuatu yang baru bagi saya," kata Prashan.

Penatnya Berpuasa

 Seperti orang lain, Prashan mengakui kadang-kadang dia rasa penat berpuasa. Bermacam-macam perkara yang difikirkannya ketika berpuasa.

"Puasa ni boleh tahan jugalah penatnya. Hari ni memang sukar bagi saya. Sakit perut lah. Migrain lah."

"Setakat ini, semua orang memberikan sokongan kepada saya. Saya sungguh terharu."

"Saya sememangnya seorang yang sentiasa berfikiran terbuka. Lebih banyak saya teroka (mengenai Islam), inilah apa yang saya mahu. Dan inilah diri saya yang sebenarnya."

"Saya berharap ibubapa saya ada bersama saya ketika ini. Agar mereka dapat merasai kegembiraan saya ini. Jika mereka tak berpuasa, pun tak mengapa. Saya cuma mahu luangkan masa bersama mereka," Prashan dalam nada sayu berharap ada sinar menanti buat dirinya dan keluarga.

Keikhlasan dan ketulusan hati

Sepanjang perjalanan mendokumentasi kisah Ramadan pertama buat Prashan ini, membuatkan kami berasa sangat tersentuh dengan keikhlasan dan ketulusan hatinya dalam menerima segalanya.

Bagaimana dia menerima perubahan dan bagaimana dia menuju ke arah baru dalam hidupnya.

Prashan tidak terlalu mengharapkan penerimaan keluarga, namun sekurang-kurangnya sedikit kefahaman mengenai pilihan hidupnya yang baru.

Prashan juga berharap satu hari nanti, dia dapat berkongsi keindahan Ramadan bersama keluarganya.

Prashan turut ditanya mengenai apa yang dinanti-nantikannya selepas ini.

"Saya sangat ternanti-nantikan hari raya. Saya selalu dengar cerita mengenai orang membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Pergi menziarahi dan membersihkan kubur. Saya nak rasa pengalaman dan perasaan itu."

"Sebelum ini, saya selalu lihat orang letakkan kenderaan di tepi jalan (ketika solat sunat Aidilfitri) awal-awal pagi. Berjalan bersama (menuju ke masjid). Sangat seronok. Sekarang giliran saya pula nak merasainya."

"Sudah tentunya saya tak sabar nak rasa makanan di hari raya. Kami sekeluarga dapat masak dan makan bersama. Saya sangat ternanti-nantikannya," Prashan mengakhiri temubualnya bersama BFM89.9.

Itulah kisah mengenai Prashan. Seorang saudara baru. Ada keikhlasan dan ketulusan hati. Ibarat anak kecil, suci penuh pengharapan menjalani ibadah puasa buat pertama kalinya. Semoga keikhlasan Prashan berpuasa menjadi inspirasi kepada semua.

###

POSTED IN Business TAGGED