MaGIC lancar IDEA demi pertumbuhan mampan dan menyeluruh ekosistem keusahawanan

oleh Shahrul Izwan Naser

MaGIC melancarkan Impact Driven Enterprise Accreditation atau IDEA - sebuah inisiatif yang membantu perusahaan didorong oleh impak (Impact Driven Enterprises - IDEs) mendapatkan akreditasi dan mencipta anjakan sistemik dengan penyertaan sektor awam dan swasta dengan memacu perolehan sosial sebagai sebahagian daripada aktiviti perniagaan mereka.

IDEA bertindak sebagai fasilitator di antara perusahaan didorong oleh impak bersama sektor awam dan swasta menerusi platform dalam talian --- memberikan akses kepada perolehan sosial dan membantu usahawan membina kredibiliti menerusi program akreditasi mereka.  

IDEA terbahagi kepada dua komponen utama iaitu:

1. Perusahaan Didorong Oleh Impak (Impact Driven Enterprises - IDEs)

2.  Rakan Impak (Impact Partners)

Perusahaan Didorong Oleh Impak (Impact Driven Enterprises - IDEs)

Perusahaan didorong oleh impak, ditakrifkan sebagai sebuah organisasi (sama ada berasaskan keuntungan atau tidak) secara proaktif mencipta perubahan atau impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar, namun pada masa sama mampan dari sudut kewangan.

Impact Driven Enterprise Accreditation (IDEA) berhasrat untuk mengiktiraf usaha yang telah dilakukan oleh perusahaan-perusahaan didorong oleh impak di seluruh negara.

Dengan menerima akreditasi IDEA ini, ia dapat memberikan daya saing bisnes lebih baik serta membantu bakal rakan perniagaan mengenalpasti dan menyumbang kepada perniagaan.  

Platform IDEA mempertemukan kedua-dua rakan daripada sektor awam dan swasta serta ketua industri yang sentiasa mencari peluang untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Rakan Impak

Rakan Impak merupakan organisasi awam mahupun swasta yang terlibat dengan proses perolehan sosial.

Perolehan Sosial --- merupakan sebuah proses yang membawa perubahan sistemik positif kepada golongan yang memerlukan. Ia memastikan bahawa keputusan yang diambil oleh sesebuah organisasi untuk berurus niaga bukan semata-mata didorong oleh faktor kos, namun menitikberatkan faktor lain seperti sosial dan alam sekitar.

IDEA akan bertindak sebagai pemudah cara dengan menghubungkan Rakan Impak secara terus dengan perusahaan-perusahaan didorong oleh impak yang telah disahkan oleh MaGIC.

Dengan menjalankan urus niaga bersama perusahaan yang telah menerima akreditasi, dapat menyumbang kepada kumpulan penerima manfaat yang menjadi pilihan mereka. Impak positif tersebut dapat dicapai berdasarkan jumlah peluang pekerjaan yang dihasilkan; peningkatan taraf kehidupan; penyediaan akses kepada keperluan asas dan pemuliharaan alam sekitar.  

Manfaat untuk semua

Inisiatif terbaru daripada MaGIC ini menambah baik ekosistem perniagaan menjadi lebih telus, memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada usahawan yang sentiasa mencari peluang untuk memajukan perniagaan mereka dan pada masa sama memberikan impak positif kepada masyarakat. Selain itu, ia turut sama memberi platform kepada perusahaan bagi membina keupayaan perniagaan yang lebih mampan dan lestari.  

Walaupun baru sahaja dilancarkan, IDEA telah memberi akreditasi kepada lebih 20 perusahaan dan badan NGO daripada pelbagai bidang dan industri yang telah memberi impak positif kepada masyarakat dan penerima manfaat mereka.

Antara perusahaan dan badan NGO yang telah menerima akreditasi daripada IDEA adalah 1L Car Wash, Biji-Biji Initiative, Foodabox, PT Foundation, Dialogue In The Dark, The Picha Project, Agak Agak Initiative dan Greenyards.

Untuk maklumat lanjut mengenai IDEA, sila layari http://mymagic.my/idea

###