B-Side MA2017 bawa keusahawanan disruptif ke dalam ekosistem startup Malaysia

MA2017 bawa keusahawanan disruptif ke dalam ekosistem startup Malaysia

Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) melancarkan MaGIC Academy Symposium (MA2017) bermula 4 hingga 7 Oktober 2017 di Kampus MaGIC, Cyberjaya. Simposium empat hari tersebut mengumpulkan seluruh ekosistem startup di Malaysia yang kini sedang berkembang maju. MA2017 dilihat sebagai forum untuk pembelajaran, bimbingan, inpsirasi dan peluang pekerjaan. Lebih daripada 2000 pemilik startup, usahawan, perniagaan berasaskan impak (IDE) dan pencari kerja dijangka hadir pada edisi kali ini.

 

MA2017 yang memasuki edisi keempat tahun ini memfokus kepada tema keusahawanan disruptif atau ‘Disruptive Entrepreneurship’ menerusi empat objektif:

  • Mencari cara baharu untuk menyelesaikan masalah

  • Mengenalpasti peluang untuk perkembangan bisnes

  • Memastikan bisnes kekal relevan di masa hadapan dengan meramal trend

  • Memupuk bakat berkualiti untuk ekosistem startup

 

Simposium kali ini menampilkan 27 ceramah, 28 kelas khusus, 3 ucaptama dan 8 sesi perbincangan santai oleh penceramah terkemuka seperti Tom Kelley; Rakan Kongsi IDEO, Lucas Ngoo; Pengasas Bersama Carousell, Sriram Krishnan; Ketua Pertumbuhan Antarabangsa Tinder, Srinivas Gattamneni; Ketua Pegaea Portfolio Axiata, Syed Ahmad Fuqaha; Ketua Pegawai Eksekutif KATSANA, Sonam Pelden; Ketua Pemasaran Serantau ServisHero, Adam Burmister; Jurutera Perisian Pinterest dan ramai lagi.

“Ekonomi digital kini menawarkan peluang baharu kepada usahawan untuk melakukan perubahan, mempertingkatkan kecekapan dalam urusan masyarakat dan mencetuskan lebih banyak impak. Kami berhasrat untuk membantu memupuk ekosistem Malaysia yang sedang berkembang maju ke tahap lebih tinggi dengan menggerakkan pembangunan keusahawanan, membina keupayaan kreativiti dan inovasi, seterusnya melahirkan lebih ramai bakat tempatan,” kata Ashran Dato’ Ghazi, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC ketika sidang media simposium tersebut.

“Kami juga berharap pengalaman MA2017 akan memberi ilham kepada perjalanan usahawan dan melangkah keluar dari Kampus MaGIC dengan kemahiran dan keupayaan serta ilmu berguna demi perkembangan bisnes mereka,” tambah Ashran.

 

 Tom Kelley, Pengasas Bersama IDEO menyampaikan ucaptama di MA2017

 

Selain daripada kelas khusus, peserta juga berpeluang menghadiri 75 sesi bimbingan oleh penceramah jemputan dan mentor dari seluruh rantau ini. Sesi bimbingan ini direka berdasarkan objektif untuk mendapatkan pelaburan, penggunaan alat analitik Google, memahami undang-undang berkaitan startup dan banyak lagi.

 

Manakala pada hari terakhir simposium (7 Oktober) bakal menyaksikan pameran kerjaya startup terbesar di Asia Tenggara, iaitu MA2017 Career Fair dengan kerjasama StartUpJobs dan Talentvis. Lebih 100 startup tempatan dan rantau ini akan memberi peluang kepada pencari kerja untuk memahami budaya kerja dan perkembangan kerjaya bagi bidang keusahawanan startup.

 Untuk maklumat lanjut mengenai MA2017, sila layari http://ma2017.mymagic.my

POSTED IN Business TAGGED