B-Side Komuniti Keusahawanan Global (GECommunity) persiap Malaysia hadapi Revolusi Perindustrian Keempat

Komuniti Keusahawanan Global (GECommunity) persiap Malaysia hadapi Revolusi Perindustrian Keempat

Komuniti Keusahawanan Global (GECommunity) persiap Malaysia hadapi Revolusi Perindustrian Keempat

Oleh Shahrul Izwan Naser

Revolusi Perindustrian Keempat merupakan gelombang baru yang bakal merubah lanskap dunia. Ekonomi negara akan mengalami kesulitan jika industri tidak bersedia menghadapinya.

Gelombang baru ekonomi ini memberikan persaingan yang adil kepada semua, malah negara-negara baru membangun lain di rantau ASEAN boleh sahaja memintas Malaysia menerusi revolusi industri ini.

Melihatkan suasana industri Malaysia yang masih lagi berada di industri kedua dengan mempunyai kebergantungan tinggi kepada pasaran buruh, kita perlu bekerja keras dan bijak demi memastikan negara menganjak ke revolusi terbaru ini.

Revolusi perindustrian yang pertama banyak bergantung kepada penggunaan enjin berkuasa wap, manakala revolusi kedua menyaksikan dunia memasuki era automasi dengan penggunaan tenaga elektrik. Ledakan teknologi maklumat pada revolusi ketiga menjadikan ekonomi dunia lebih produktif dengan bergerak secara automatik sepenuhnya.

Revolusi Perindustrian Keempat pula menyaksikan Internet of Things dan Big Data mengambil alih peranan automasi dan produktiviti. Fenomena terbaru tersebut bukan sahaja mengubah cara sesebuah perniagaan dijalankan malah mempengaruhi kehidupan kita seharian.

Sehubungan dengan itu, Malaysia harus menyediakan ekosistem ekonomi yang mampan dengan memastikan semua pemain industri dapat mengambil kesempatan untuk bersaing secara sihat dan adil. Fokus harus diberikan kepada bidang keusahawanan dan disruptive innovation yang dapat membuka pasaran baru dengan penciptaan rangkaian nilai lebih luas dengan menyediakan platform demi merangsang pertumbuhan ekonomi baru yang sejajar dengan kehendak Revolusi Perindustrian Keempat.

Komuniti global berdasarkan strategi lautan biru

Sebagai sebuah negara membangun dengan status ekonomi berpendapatan sederhana tinggi (upper-middle income), Malaysia sedang bergerak menuju status negara maju dengan segala tumpuan diberikan bagi penyuburan ekosistem startup dan keusahawanan. Antara platform yang ampuh dalam menyampaikan mandat tersebut adalah Sidang Kemuncak Komuniti Keusahawanan Global (GECommunity Summit).

Sidang Kemuncak Komuniti Keusahawanan Global menampilkan pemain-pemain utama ekosistem, komuniti startup dan pemimpin industri dari serta dunia untuk berkolaborasi dan mencari pendekatan baru yang inovatif bagi isu-isu utama serta mencorakkan masa depan yang lebih baik untuk bidang keusahawanan.

Sidang kemuncak global ini merupakan inisiatif Kementerian Kewangan Malaysia dan dianjurkan oleh Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) untuk memperkasakan usahawan dengan idea-idea bernas dan kolaborasi berimpak tinggi demi menyelesaikan masalah rentas-sempadan. Selain itu, sidang kemuncak ini berperanan sebagai platform berkongsi sebarang kemungkinan baru dalam membangunkan idea dan penyelesaian berevolusi serta memangkin inovasi.

Bertemakan 'Reimagine the Future of Entrepreneurs', GECommunity 2016 telah dihadiri lebih kurang 6 ribu peserta dan menampilkan speaker terkemuka dunia seperti Mike Walsh; Ketua Pegawai Eksekutif Tomorrow, Bill Rancic, Joel Neoh; Pengasas KFit serta Emil Michael dari Uber. Selain daripada bertemu speaker-speaker dan peluang membina rangkaian, GECommunity 2016 turut menawarkan padanan perniagaan, sessi bimbingan dan perbincangan mengikut kluster di mana terdapat 50 inisiatif dikenalpasti berdasarkan sembilan makmal industri khusus dengan peserta terdiri daripada pakar-pakar daripada lebih 60 negara.

Jon Duschinsky merupakan salah seorang speaker di GECommunity 2016

Manakala untuk tahun ini Sidang Kemuncak GECommunity 2017, bertemakan 'Designing the Future' akan menjadi persidangan untuk pembawa perubahan dengan menyertai 100 makmal GEC merentas 15 tema berdasarkan format un-conference. Peserta juga dapat mendengar 20 sesi ucaptama dan panel diskusi serta menerima bimbingan daripada usahawan terkemuka dan menyertai 'masterclass' keusahawanan serta lawatan ke 200 gerai pameran.

Sidang kemuncak tahun ini adalah kolaborasi di antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pengajian Tinggi serta Institut Strategi Lautan Biru Malaysia yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, sidang kemuncak tersebut juga akan menjadi hos kepada Anugerah Lautan Biru Gobal, COLOSSUSINNO2017 dan TENXCLUB oleh Pergerakan Keusahawanan Global (GEM), sebuah komuniti yang menjadi sebahagian daripada GECommunity Summit 2017.

Antara speaker terkemuka yang akan berkongsi pentas utama GECommunity Summit 2017 adalah Dr. Michio Kaku ( Ahli Fizik Teoritikal Dunia), Sophie Hackford (Pengarah Wired Consulting dan Pendidikan di Majalah Wired) Adrian Pica, (Pengasas 150sec.com) serta Irfan Alam (Pengasas dan Pengerusi Yayasan Sammaan).

Atas Kiri ke Kanan: Dr. Michio Kaku dan Sophie Hackford, Bawah Kiri ke Kanan: Adrian Pica dan Irfan Alam

Makmal GEC 2017

Makmal GEC merupakan tulang belakang GECommunity Summit 2017, di mana kumpulan pemain industri dan korporat, pemain-pemain utama ekosistem, pembuat polisi dan usahawan di seluruh dunia yang terpilih akan dijemput menyertai perbincangan secara mendalam mengenai topik-topik utama berdasarkan 15 bidang tumpuan dan persoalan-persoalan yang bakal dibahaskan:

1. Kepintaran Buatan (AI) dan Mesin Pembelajaran - Bukan sekadar perkataan yang meniti di bibir ramai, apakah impak AI ke atas industri dari sudut inovasi dan kesannya kepada pekerjaan? Bagaimana AI merubah cara kita bekerja dan berinteraksi dengan lain?

2. E-Dagang dan Peruncitan - Telah menjadi satu kewajipan bagi industri peruncitan melakukan transformasi menerusi E-Dagang. Apakah peringkat seterusnya untuk hubungan pelanggan, pengurusan rantaian bekalan apabila inovasi seperti AI, bots, AR/VR menjadi popular?

3. Fesyen dan Kecantikan - Bagaimana teknologi termaju seperti blockchain dapat membantu menyelesaikan masalah kemampanan rantaian bekalan? Bagaimana industri fesyen dan kecantikan dapat mencipta pengalaman baru kepada pelanggan?

4. Makanan dan Minuman - Apakah inovasi yang dapat dilakukan oleh teknologi baru untuk sektor makanan dan minuman: mencipta hubungan baru dengan pelanggan, dapat merekabentuk ekosistem bekalan makanan yang mampan?

5. Peralatan dan IoT - Bagaimana Revolusi Perindustrian Keempat bakal memberikan impak kepada sektor perkilangan di masa depan? Bagaimana pula masa depan sektor tenaga, pembuatan dan logistik? Bagaimana pula dengan masa depan percetakan 3D?

6. Kesihatan dan Biotek - Bagaimana teknologi dapat memberi definisi dan paradigma baru masa depan perkhidmatan kesihatan serta biotek daripada kesihatan digital kepada sibernetik dan sel stem? Sejauh mana tubuh badan manusia dapat menerima inovasi?

7. Media, Permainan dan Hiburan - Bagaimana teknologi menukar lanskap ketiga-tiga sektor ini? Bagaimana AR, VR dan gamefikasi dapat mengubah cara kita berinteraksi dengan media dan hiburan?

8. Mobiliti dan Pengangkutan - Apakah inisiatif yang perlu dilakukan untuk menjadikan kenderaan elektrik sebagai pilihan utama? Bagaimana model perkongsian ekonomi dan kenderaan-pandu-sendiri dapat membentuk masa depan pemain sektor mobiliti dan pengangkutan?

9. Keselamatan dan Teknologi Maklumat - Dengan kadar jenayah siber semakin meningkat, bagaimana keselamatan masyarakat digital dan industri hiper-perhubungan dapat terjamin?

10. Realiti Maya (VR) & Realiti Dipertingkatkan (AR) - Apakah inisiatif yang perlu diambil untuk membuktikan potensi sepenuhnya AR/VR ke dalam perniagaan dan kehidupan seharian?

11. Pendidikan - Bagaimana transformasi asas pendidikan dapat menghasilkan institusi pendidikan yang siapsedia untuk ekonomi di masa depan?

12. Inovasi Sosial - Bagaimana perintis dan pengamal inovasi dapat mengambil kesempatan ke atas teknologi termaju demi mencapai Sustainable Development Goals (SDG) dan membawa nilai kemanusiaan ke tahap lebih inklusif?

13. Teknologi Kewangan (FinTech) dan Pembayaran -  Sejauh mana inovasi dapat meluaskan skop dan impak FinTech? Contohnya, bagaimana blockchain dan AI dapat menukar wajah sektor kewangan? Adakah kita sudah hampir untuk menjadi masyarakat tanpa tunai (cashless society)?

14. Industri Kreatif - Apakah inisiatif yang harus diambil untuk menggalakkan penggunaan inovasi dalam industri kreatif? Secara amnya, bagaimana teknologi kreatif dapat memainkan peranan penting dalam inovasi industri?

15. Bandar Pintar - Teknologi kini dibina bersama rumah dan bandar kita, bagaimana kita dapat memastikan kehidupan pintar, perancangan bandar yang pintar dan tadbir urus bandar pintar dapat disepadukan dengan lancar?

GECommunity 2017 bakal diadakan pada 12 dan 13 Disember 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan merupakan acara utama sebahagian daripada aktiviti Tahun Promosi Startup dan SME 2017 (SSPY).

Untuk rekod, ketika pembentangan bajet tahun lepas, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM75 juta di bawah program SME Master Plan dan RM200 juta suntikan dana ke dalam Working Capital Guarantee Scheme (WCGS) bagi merancakkan pertumbuhan startup.

Maklumat lanjut mengenai GECommunity 2017, sila layari http://www.gecommunity.co/

###

POSTED IN Business TAGGED