B-Side Kejatuhan media arus perdana, mungkin disebabkan diri sendiri - Penganalisis

Kejatuhan media arus perdana, mungkin disebabkan diri sendiri - Penganalisis

Artikel ini disusun semula daripada The Malaysian Insight

 

Media arus perdana harus mempersalahkan diri sendiri kerana kehilangan pembaca dan kepercayaan masyarakat, memetik kata-kata pakar media. Selain itu, pendirian yang dilihat pro-Barisan Nasional juga dikatakan merosakkan kredibiliti mereka.

 

Internet juga menyumbang kepada fenomena ini kerana semakin ramai rakyat Malaysia beralih ke berita dalam talian dan dilihat pandangan mereka seperti tidak didengari serta diberi perhatian oleh akhbar, stesen televisyen dan radio arus perdana.

 

Walaupun pengarang di media arus perdana mengatakan pendirian editorial mereka adalah disebabkan oleh undang-undang ketat yang mengawalselia permit dan lesen mereka, namun pemerhati berkata, itu hanyalah sebahagian daripada alasan yang diberikan.

 

Kebanyakan media arus perdana diterajui oleh pengarang yang mempercayai dan menyokong Barisan Nasional, maka kandungan yang dihasilkan juga menjurus kepada kepercayaan itu, kata wartawan veteran, Wan Hamidi Hamid.

 

Walaupun akhbar arus perdana kehilangan pembaca dan semakin ramai mendapatkan berita secara dalam talian, pakar media seperti Dr Mustafa Kamal Anuar menyatakan kebimbangannya mengenai tindakan BN yang akan mengawal kandungan internet - satu perlanggaran janji kerajaan untuk tidak menapis kandungan internet yang diumumkan pada tahun 1990-an.

 

“Kini terdapat peningkatan oleh kerajaan BN untuk mendaftar dan mengawal penerbitan dalam talian yang mungkin menjadi satu tindakan menekan media daripada mereka.”

 

“Ini mungkin dilihat sebagai satu ilusi bagi membantu media arus perdana mengekang kejatuhan mereka,” kata Mustafa, salah seorang pemikir di Penang Institute.

 


Kejatuhan Pembaca

 

Pada Jumaat lepas, veteran dalam industri akhbar, Abdul Jalil Ali mengatakan kerajaan BN kehilangan upaya untuk mempengaruhi pengundi menerusi akhbar-akhbar utama yang dikawal mereka kerana kejatuhan pengedaran.

 

Kelemahan media arus perdana dengan jumlah pembaca yang mengecil merupakan satu berita buruk bagi kerajaan dengan Piliharaya Umum ke-14 semakin menghampiri, kata Jalil yang juga merupakan penasihat editorial eksekutif Kumpulan Media Karangkraf.

 

Karangkraf merupakan penerbit utama majalah dan buku dalam Bahasa Malaysia serta memiliki akhbar, Sinar Harian.

 

Menurut Audit Bureau of Circulations Malaysia, kesemua akhbar arus perdana mengalami kejatuhan pengedaran pada tahun 2016 berbanding angka pada 2012.

 

Harian Metro mengalami kejatuhan paling teruk iaitu pada kadar 62.5% - daripada 379,169 naskah sehari kepada 142,262 naskah. New Straits TImes pula di tangga kedua dengan kejatuhan pengedaran sebanyak 41.6% daripada 93,321 naskah sehari pada tahun 2012 kepada 54,490 naskah pada penghujung tahun lepas.

 

Akhbar utama berbahasa Malaysia, Utusan Malaysia dan Berita Harian menyaksikan kejatuhan pengedaran sebanyak 30%.

 

Kejatuhan pembaca dan pengedaran dalam kalangan akhbar merupakan satu fenomena global, kata Wan Hamidi, wartawan veteran yang sudah berkhidmat selama 20 tahun.

 

“Selain daripada kenaikan kos percetakan, kejatuhan pengedaran juga disebabkan oleh semakin ramai pembaca memilih berita dalam talian.”

 

Namun faktor utama penyumbang kepada fenomena kejatuhan dalam kalangan akhbar arus perdana Malaysia ini merupakan penyusutan kepercayaan terhadap mereka yang semakin melebar selepas era Reformasi, kata Prof Zaharom Nain daripada Nottingham University Malaysia.

 

“Internet dan faktor Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dalam menukar persepsi rakyat terhadap media arus perdana,” kata Zaharom yang merupakan professor bagi pengajian media dan komunikasi.

 

“Pengedaran berita menerusi internet pada penghuhung 1990-an dan propaganda tidak terkawal oleh media arus perdana - membuka lebih banyak peluang untuk sektor informasi dan berita terus berkembang kerana rakyat Malaysia berasa kecerdikan mereka tercabar dengan berita yang diputar - menyumbang kepada kejatuhan ini.”

 

Ruang Lingkup semakin tertutup

 

Wan Hamidi menyatakan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi cuba untuk membuka sedikit ruang untuk media arus perdana bagi mengutarakan pandangan mereka ketika pemerintahan beliau.

 

“Ketika itu terdapat sedikit kelonggaran untuk kebebasan akhbar, tapi ia hanyalah bersifat sedikit terbuka berbanding ketika pemerintahan Tun Mahathir.”

 

“Namun pada penghujung pemerintahan Pak Lah, keadaan kembali seperti sebelumnya di mana ‘kerajaan tahu semuanya’,” kata Wan Hamidi yang pernah berkhidmat di NST, The Star, The Sun dan Berita Harian.

 

Walaupun terdapat beberapa pengarang kanan dan wartawan yang memperjuangkan kebebasan dalam akhbar, namun usaha mereka menerima sokongan yang suam, kata Wan Hamidi.

 

Kebebasan akhbar dikawal ketat semula ketika pemerintahan Perdana Menteri, Najib Razak.

 

Di bawah pemerintahan beliau, menyaksikan permit penerbitan untuk The Heat dan The Edge Financial Weekly digantung kerana kandungan kritikal terhadap Perdana Menteri dan pemerintahannya.

 

###

POSTED IN Politics TAGGED