Inisiatif Belt dan Road China pemangkin pertumbuhan perdagangan lebih inklusif

Disusun oleh Shahrul Izwan Naser

Dunia kini menghadapi ancaman globalisasi, kesan daripada pertumbuhan beberapa ekonomi termaju. Sementara sistem perdagangan global juga tidak terlepas daripada fenomena ekonomi tersebut.

Terdapat usaha berterusan bagi memastikan perlaksanaan perjanjian demi perjanjian yang dapat melindungi ekonomi kuasa-kuasa besar dunia seperti Dialog Komprehensif Amerika Syarikat - China, Rundingan Perdagangan Bebas antara Australia dan Peru.

Selain itu, terdapat juga inisiatif bagi menyatupadukan ekonomi serantau seperti kajian oleh IDB mengenai keberkesanan Kawasan Perdagangan Amerika Latin dan Carribean.

Walau bagaimanapun, terdapat dua rundingan utama yang telah mengalami ancaman kegagalan iaitu Perjanjian Trans Pasifik (TPP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA).

Dalam konteks ketidakpastian mengenai perjalanan sistem perdagangan global, Trade Facilitation Reform memberi peluang bagi mempercepatkan urusniaga dijalankan di peringkat global.

Pendekatan Pelbagai Pemegang Taruh

Fasilitasi Perdagangan boleh didefinisikan sebagai dasar untuk mengurangkan kos urusniaga dan mencipta kecekapan yang menepati mutu piawaian.

Menyedari bahawa pelaksanaan pembaharuan yang berkesan memerlukan penglibatan kerajaan dan sektor swasta, Forum Ekonomi Dunia, bersama-sama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan telah mewujudkan Global Alliance for Trade Facilitation.

Perikatan itu bertujuan untuk menyokong usaha-usaha fasilitasi perdagangan yang diukur oleh data yang dapat diambil tindakan selanjutnya. Ia turut mempunyai mekanisme Global Enabling Trade Report sebagai penerbitan utama yang membantu untuk mempromosikan dialog perdagangan berasaskan bukti dan pembuatan dasar.

Laporan yang diterbitkan sejak tahun 2008, mengukur fasilitasi perdagangan menggunakan Enabling Trade Index (ETI). ETI menaksir sama ada ekonomi telah menubuhkan dasar akses pasaran, institusi sempadan, infrastruktur, dasar perniagaan dan pengawalseliaan lebih luas yang memudahkan aliran bebas barang (kargo) melalui sempadan sehingga tiba di destinasi mereka.

Imej di bawah menggambarkan rangka kerja berkonsep indeks tersebut. 57 bidang keberhasilan utama dihimpunkan bagi menghasilkan petunjuk komposit menerusi empat sub-indeks dan tujuh bahagian lain. Ia menyimpan maklumat daripada pangkalan data organisasi-organisasi berbeza serta petunjuk yang diperolehi tinjauan umum oleh Forum Ekonomi Dunia yang dijalankan ke atas 141 ekonomi.

Dengan menggunakan data terbaru daripada indeks tersebut, sebuah kajian mendapati peningkatan dalam ETI berhubungkait secara langsung dengan peningkatan aliran perdagangan dua hala.

Ia turut menunjukkan ketersediaan kualiti infrastruktur pengangkutan dan perkhidmatan --- merupakan pemangkin utama perdagangan antarabangsa.

Carta di bawah menunjukkan peningkatan dalam infrastruktur yang sering dikaitkan dengan peningkatan pengaliran perdagangan dua hala. Infrastruktur merupakan pemangkin utama yang dapat mencerminkan pendekatan Belt dan Road kerajaan China ke atas dasar perdagangan dan meningkatkan kepentingan capaian pengangkutan.

China benar-benar memahami peranan yang dimainkan oleh infrastruktur dalam meningkatkan daya saing mereka. Ini dapat dibuktikan menerusi strategi ‘Belt dan Road’ yang penuh impian demi menghidupkan semula Laluan Sutera yang penuh bersejarah sebagai laluan perdagangan antarabangsa.

Pelaburan yang melibatkan pelbagai projek (termasuk trek keretapi, pelabuhan, jalanraya, sistem paip gas dan sebagainya) telah melepasi USD 1 trillion, dan dijangka akan terus menaiktaraf laluan darat dan maritim merentasi 60 negara yang mewakili 30 peratus KDNK global dan 35 peratus perdagangan dunia.

Pengurangan Kos

Dengan meneruskan inisiatif ‘Belt dan Road’, China cuba mengikuti jejak langkah Amerika Syarikat bagi mengurangkan kos perdagangan sepertimana abad ke-19 lalu.

Dalam kajian mengenai skop dan cabaran inisiatif itu, Lawrence & Toohey berhujah bahawa kemajuan teknologi dan pelaburan dalam keretapi jauh mengurangkan kos pengangkutan yang bersamaan pengurangan tarif jagung di United Kingdom dan membuka ekonomi Amerika Syarikat serta menurunkan harga komoditi tersebut.

Para pemerhati ekonomi berpendapat jika China ingin berjaya dalam inisiatif ini dan memberi manfaat kepada semua pemain inisiatif lain, ia mesti disertai dengan akses mudah ke pasaran eksport China dan seluruh dunia.

Kesan sampingan inisiatif ini sama pentingnya dengan tujuan utama iaitu mengurangkan halangan perdagangan dan meningkatkan daya saing.

Populariti China mungkin meningkat di beberapa negara membangun yang lain -- turut berkongsi aspirasi pembangunan sama seperti China. Manakala kerjasama penyelidikan ekonomi akan mengalami trend meningkat dengan beberapa pemain utama seperti Rusia, Poland, Arab Saudi dan Singapura.

Secara kesimpulannya, jika dilaksanakan dengan sewajarnya, inisiatif ‘Belt dan Road’ berpotensi untuk menentang aktiviti kawalan dan perlindungan ekonomi serta dapat memupuk pertumbuhan inklusif.

###

*Artikel ini pertama kali disiarkan di Forum Ekonomi Dunia