Indeks Inovasi Global 2017 dan inisiatif Malaysia ke arah negara berinovatif

oleh Shahrul Izwan Naser

Negara-negara membangun menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pencarian negara paling inovatif berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Indeks Inovasi Global 2017. Secara umumnya, negara-negara barat masih mendominasi dengan Switzerland mengungguli tangga teratas.

Laporan tahunan yang melibatkan 128 buah negara menyaksikan China mendaki tiga anak tangga untuk berada di kedudukan ke-22, jauh meninggalkan negara-negara membangun yang lain.

Dengan menjuarai negara paling inovatif bagi tahun 2017, ini merupakan kejuaraan buat Switzerland untuk 7 tahun berturut-turut semenjak tahun 2011. Switzerland diekori rapat oleh Netherlands, Amerika Syarikat dan United Kingdom, manakala United Arab Emirates, Vietnam dan Kuwait antara yang menunjukkan prestasi cemerlang untuk tahun ini.

Indeks Inovasi Global diterbitkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) bersama INSEAD dan SC Johnson College of Business, Cornell University berdasarkan kajian kompetitif berdasarkan 81 petunjuk.

“Apa yang penting menerusi Indeks Inovasi Global adalah memahami dan membuat analisis mengenai jurang inovasi di antara negara dan bagaimana ia dapat dirapatkan berdasarkan petunjuk-petunjuk yang terdapat dalam indeks tersebut,” kata Soumitra Dutta, dekan Cornell Business School.

Prestasi Asia secara keseluruhan

Singapura di tangga ketujuh dunia, menjadikannya negara paling inovatif di Asia. Pencapaian Singapura ini didorong oleh petunjuk-petunjuk seperti sumber manusia dan penyelidikan.

Korea Selatan pula ditangga ke-11 dunia, menjadikannya negara kedua paling inovatif di Asia. Kedudukan Korea Selatan ini dijana oleh pertumbuhan hasil keluaran harta intelek.

Manakala Jepun berada di tangga ketiga Asia dengan mencatatkan pencapaian di tangga ke-14 dunia. Jepun berjaya meloloskan diri ke dalam kelompok sepuluh negara terbaik bagi petunjuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan teknologi komunikasi maklumat.

China di tangga ke-22 dunia dengan nilai skor tinggi bagi petunjuk daya saing bisnes, ilmu dan pengetahuan dan hasil keluaran teknologi. China turut mempamerkan kejayaan dalam beberapa petunjuk lain seperti syarikat R&D tempatan dengan impak global, bakat penyelidikan dalam bisnes, permohonan paten dan jumlah harta intelek.

India pula mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan apabila sekadar berada di tangga ke-60 dunia yang diakibatkan oleh nilai skor rendah dalam petunjuk birokrasi dan kemudahan infrastruktur.

Dalam kalangan negara ASEAN, menyaksikan pencapaian hebat Filipina (ke-73) yang mendahului petunjuk eksport perkhidmatan ICT dan Vietnam (ke-47) dicatatkan sebagai negara ASEAN dengan nilai bajet pendidikan terbesar. Ini merupakan prestasi paling cemerlang buat Vietnam apabila berjaya mendaki 12 anak tangga dalam indeks tersebut berbanding tahun lepas.   

Manakala kekuatan Thailand (ke-51) terletak pada petunjuk eksport barangan kreatif dan belanjawan kasar bagi penyelidikan (R&D)  yang disediakan oleh syarikat korporat yang disenaraikan di kedudukan ke-5 dan ke-6 untuk petunjuk tersebut di peringkat global.

Secara keseluruhannya, Malaysia di tangga ke-37 dunia dengan pencapaian hebat bagi petunjuk eksport dan import teknologi tinggi, kolaborasi penyelidikan universiti/industri dan jumlah graduan dalam sains dan kejuruteraan.

Inovasi dan Kreativiti di Malaysia

Mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global 2017, Ashran Dato’ Ghazi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) berkongsi pandangan dan inisiatif yang dijalankan oleh MaGIC demi memastikan Malaysia antara negara paling inovatif terutamanya dalam memajukan sektor keusahawanan berimpak tinggi di peringkat tempatan dan serantau.

THE B-SIDE: Malaysia merupakan antara negara berpendapatan pertengahan atas (Upper Middle Income Nation) yang menjadi tumpuan apabila merapatkan jurang di belakang 25 negara utama, yang selalunya didominasi oleh negara berpendapatan tinggi (High Income Nation). Apakah maknanya ini kepada Malaysia umumnya dan MaGIC khususnya? Adakah inisiatif sedia ada, mencukupi bagi memastikan Malaysia terus mendaki anak tangga indeks ini, sekaligus menjadikan inovasi bersifat inklusif untuk semua rakyat?

ASHRAN DATO’ GHAZI: Ekosistem keusahawanan dan inovasi di Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan yang sihat sejak beberapa tahun yang lalu. Usaha dan inisiatif bersama untuk mempengaruhi lanskap keusahawanan telah membantu membina keupayaan supaya kita boleh beralih ke pertumbuhan berdasarkan inovasi. Usaha kami masih belum selesai tetapi kami yakin masanya sudah tiba  untuk sektor korporat dan swasta menjadi pendorong utama dalam membangunkan ekosistem ini dan memacu inovasi nasional.

Tumpuan utama bagi inovasi yang seterusnya adalah di Asia, dan pastinya ia harus berada di ASEAN. Menerusi ASEAN Centre of Entrepreneurship (ACE) kami berkerjasama dengan kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara untuk membina ekosistem inovasi dan keusahawanan yang benar-benar berhubung dan mampu menyelesaikan cabaran korporat serantau. Pembangunan ekonomi yang dipacu oleh inovasi dan merangsang budaya inovasi adalah penting bagi Malaysia dalam usaha mencapai matlamat kita supaya ekonomi digital menyumbang 20% KDNK negara menjelang 2020.

Di Malaysia, Cyberjaya dan pihak berkepentingannya termasuklah MaGIC bekerjasama untuk menghasilkan bandar siber yang berkembang pesat serta mampan yang disokong oleh hab inovasi dan kreatif. Inisiatif seperti Cyberview’s Living Lab Accelerator Programme, CoInnov8, ruang kerja bersama dan Futurise Centre yang baru saja dilancarkan  semuanya menyediakan sebuah hab untuk inovasi dan memacu kerjasama di antara ekosistem usahawan dan sektor awam dan swasta yang akan menyumbang kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global bagi tahun akan datang. Kami juga turut bekerjasama dengan Cyberview dan makmal rekabentuk asing untuk menubuhkan makmal-makmal rekabentuk di Cyberjaya. Ini akan membolehkan remaja dan graduan universiti dilatih dalam pemikiran rekabentuk dan kemahiran lain.

Inisiatif yang dibentuk secara terperinci telah dibangunkan untuk menggerakkan bidang-bidang tumpuan utama, yang turut dikenal pasti dalam laporan tersebut, seperti kurang inovasi perniagaan, dan kurang tenaga kerja mahir. Inisiatif ini termasuk Corporate Entrepreneurship Responsibility (CER) dan MaGIC Academy. Bagi memastikan penglibatan orang awam dalam inovasi, MaGIC, melalui program khidmat masyarakatnya, mendidik orang awam mengenai kepentingan kreativiti, inovasi, dan keusahawanan kepada pertumbuhan ekonomi kita.

Meningkatkan daya saing bisnes menerusi inovasi

THE B-SIDE: Menurut salah satu petunjuk -- Daya Saing Bisnes (Business Sophistication), Belanjawan Kasar bagi penyelidikan (GERD) yang disediakan oleh syarikat korporat tempatan untuk menggalakkan bidang penyelidikan berada di tangga ke-75 dan dilihat sebagai penghalang perkembangan inovasi. Begitu juga halnya dengan GERD oleh syarikat antarabangsa. Bagaimana MaGIC menerusi inisiatif Corporate Entrepreneurship Responsibility (CER) dapat merancakkan inovasi di Malaysia dengan kerjasama syarikat korporat tempatan dan antarabangsa? CER baru sahaja dilancarkan tidak sampai setahun, bilakah inisiatif ini dijangka akan membuahkan hasil dan apakah bidang keberhasilan utama (KPI) yang ingin dicapai?

ASHRAN DATO’ GHAZI: Syarikat selalunya keberatan untuk melakukan perubahan. Kekurangan tenaga kerja mahir, masa, dan sumber serta keinginan untuk melihat hasil serta-merta selalunya menjadi halangan utama. Melalui kerjasama dengan usahawan, syarikat korporat dapat menggerakkan operasi mereka dengan lebih pantas, mengubah model perniagaan sedia ada, menyediakan akses kepada pasaran baharu dan mengamalkan pemikiran yang lebih berbentuk keusahawanan.

Usahawan juga kebanyakannya bersaiz kecil dan dapat bergerak lebih pantas dalam bidang-bidang tertentu, selari dengan keperluan industri. Fleksibiliti dan mobiliti yang dimiliki startup adalah sesuatu yang jarang ditemui dalam syarikat korporat.

Terdapat dua program di bawah platform Corporate Entrepreneurship Responsibility iaitu CER Circle dan MaGIC Activate. Kedua-duanya penting dalam mendorong agenda nasional, dan memudahkan penglibatan lebih meluas daripada syarikat korporat dan sektor swasta dalam teras utama seterusnya untuk membangunkan ekosistem keusahawanan Malaysia dan memacu inovasi nasional.

CER Circle ialah platform berkonsep 'keahlian' untuk menghubungkan syarikat korporat dengan komuniti startup dan membantu mereka memanfaatkan teknologi baharu yang berkuasa mengubah pasaran sedia ada serta membangunkan projek inovasi secara berterusan melalui perkongsian kedua-dua pihak. Manakala MaGIC Activate ialah platform bagi membantu syarikat korporat menganjurkan cabaran inovasi untuk menarik penglibatan lebih banyak startup dan usahawan.

Walaupun CER baru sahaja dilancarkan, kami menerima sambutan menggalakkan daripada syarikat korporat dan usahawan. Sebanyak 22 rakan kongsi telah menyertai program ini, termasuk AIA, CIMB, IBM, IJM, Media Prima, Allianz, UNICEF, Microsoft, SetiaHaruman, Sunway Ventures, TM, Techstars dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kami menetapkan tiga KPI untuk program CER ini: Pertama, mendorong penglibatan syarikat korporat dan sektor swasta secara lebih meluas dalam pembangunan keusahawanan. Kedua, menjana inovasi untuk membina ekonomi masa depan Malaysia di saat kita sedang bersedia untuk menghadapi revolusi industri keempat. Kedua-dua KPI ini akan membantu matlamat ketiga kami, iaitu memudahkan penciptaan nilai di Malaysia – kami menyasarkan penjanaan nilai keseluruhan sebanyak RM100 juta dalam tempoh dua tahun melalui kedua-dua program ini.

Menghasilkan dan menarik pekerja berpengetahuan tinggi ke Malaysia

THE B-SIDE: Bagi petunjuk Pekerja Berpengetahuan Tinggi (K-Workers), Malaysia berada di tangga ke-93, juga dilihat sebagai sesuatu membimbangkan. Pembangunan Malaysia menuju negara maju, berinovatif dan berpendapatan tinggi memerlukan pekerja K-Workers. Bagaimana program-program MaGIC (MaGIC Academy, MaGIC GAP) dapat menyumbang secara langsung dalam menghasilkan tenaga kerja berpengetahuan tinggi dan menarik kehadiran bakat-bakat tersebut dari luar negara ke Malaysia?

ASHRAN DATO’ GHAZI: Salah satu daripada keutamaan kami ialah untuk melahirkan bakat baharu dan membangunkan keupayaan kreativiti dan inovasi. Kami ingin melahirkan dan membangunkan usahawan yang mampu menyelesaikan masalah.

Kaedah dan platform kami memberikan usahawan dan sektor swasta kelengkapan yang diperlukan dalam membina kemahiran mereka untuk mengembangkan perniagaan,  memperbaharui perniagaan sedia ada, mengembangkan idea sehingga menjadi perniagaan berjaya dan untuk membantu syarikat korporat melakukan pembaharuan.

Sebagai contoh, melalui Global Accelerator Program, kami menarik tenaga mahir dari seluruh dunia dengan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk paling ideal ke Asia Tenggara untuk usahawan mengembangkan perniagaan dan pasaran mereka. Ia juga menggalakkan kerjasama antara startup global dan tempatan, memupuk kerjasama rentas sempadan dalam keusahawanan dan inovasi serta menggalakkan peserta bertukar-tukar pemikiran dan idea sesama mereka.

Menerusi ACE, kami akan menubuhkan beberapa koridor inovasi di ASEAN dan di rantau utama seluruh dunia. Ini membantu meningkatkan hubungan di antara startup dan usahawan di ASEAN dengan menggalakkan perkongsian idea dan penyelesaian inovatif. Menerusi ACE, kami telah menerima pembabitan startup berinovasi dari rantau ini untuk membangun dan menghasilkan idea di Malaysia. Selain itu pas kerja baru yang dikenali sebagai Usahawan Teknologi Pengetahuan Asing (Foreign Knowledge Tech Entrepreneurs) akan diperkenalkan untuk menarik bakat dari seluruh dunia untuk memenuhi keperluan bakat di negara ini.

Memastikan kesinambungan ekosistem inovatif di Malaysia

THE B-SIDE: Hasil Keluaran Kreatif (Creative Outputs) yang mengukur peranan kreativiti kepada inovasi merupakan petunjuk terakhir dalam Indeks Inovasi Global 2017. Di bawah Barangan dan Perkhidmatan Kreatif, prestasi Malaysia lebih baik berbanding negara jiran, Singapura yang secara keseluruhannya berada di tangga ketujuh dunia Indeks Inovasi Global 2017. Misalnya, Malaysia berada di kedudukan kedua untuk sub-petunjuk Eksport Barangan Kreatif  berbanding Singapura yang sekadar berpuas hati di tangga kesepuluh. Apakah inisiatif yang dilakukan oleh MaGIC demi membantu para usahawan dalam menghasilkan produk/perkhidmatan kreatif yang bertaraf dunia. Selain itu, bagaimana MaGIC dapat memastikan kesinambungan ekosistem keusahawanan, jaringan pasaran dan strategi lautan biru demi impak yang lebih luas?

ASHRAN DATO’ GHAZI: Melalui Global Accelerator Program, startup terpilih dari seluruh dunia akan dilengkapi dengan kemahiran, pengetahuan, dan rangkaian hubungan yang diperlukan untuk menarik pelaburan dalam tempoh empat bulan. Sebelum menumpukan kepada pasaran global, kami ingin melihat startup ini berjaya di pasaran ASEAN, iaitu rantau yang sering disebut-sebut sebagai bakal kuasa pengguna terbesar dunia.

Kami juga baru-baru ini melancarkan Futurise Centre, iaitu projek usaha sama antara Cyberview Sdn Bhd dan Malaysian Global Creativity & Innovation Centre (MaGIC) yang pastinya akan menarik lebih ramai bakat ke Malaysia dan membantu usahawan membangunkan produk dan perkhidmatan kreatif bertaraf dunia.

Dibangunkan sebagai hab untuk syarikat, universiti dan usahawan bertemu dan menghasilkan ciptaan masa depan, pusat itu akan menempatkan universiti penyelidikan seperti Multimedia University dan Tsinghua University. Pusat itu juga akan menempatkan kemudahan inovasi seperti Makmal HoloLens dan AI Microsoft dan Makmal Inovasi Teknologi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNTIL).

UNTIL akan mengumpulkan kakitangan PBB, ahli akademik, kerajaan, startup dan syarikat gergasi teknologi untuk membangunkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran global seperti bandar pintar, pelancongan mampan dan fesyen beretika.

*Untuk mendapatkan info lanjut mengenai MaGIC dan inisitiatif inovasi dan kreativiti mereka, sila layari mymagic.my.

###