B-Side Cukup setakat Thaqif

Cukup setakat Thaqif

Cukup setakat Thaqif

oleh Shahrul Izwan Naser

Adik Thaqif sudah tiada. Kita sedih, kecewa dan marah setiap kali kita dengar mengenai kematian kanak-kanak disebabkan penderaan. Namun persoalannya, adakah kita akan terus disogokkan dengan lebih banyak berita kematian kanak-kanak yang tidak berdosa? Adakah kita serius untuk membendung insiden sama daripada terus berlaku di masa hadapan?

Sebagai masyarakat sivil yang punya kewarasan akal, kita harus membincangkan dan membuat tindakan susulan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin dan tidak dikompromi walau apa sahaja alasan (merotan untuk mendidik dan sebagainya).

Foto: Luahan perasaan adik Thaqif yang ditulis di dalam diarinya

Untuk rekod, insiden menghukum pelajar tahfiz sehingga menyebabkan penderaan ini bukanlah yang pertama seumpamanya. Pada Mac 2011, seorang warden di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Arau, Perlis telah menyebabkan kematian seorang pelajar lelaki dengan tangannya diikat pada batang besi dan dia dipukul di kepala serta ditampar kerana didakwa mencuri wang. Setelah dibicarakan, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun.

Manakala pada Ogos 2016, kita dikejutkan dengan berita pelajar tahfiz berusia 10 tahun dilibas dengan rotan oleh seorang guru ganti sehingga lebam di sebuah maahad tahfiz Sungai Petani, Kedah.  

Itu hanyalah sebahagian kes yang dilaporkan, berkemungkinan banyak lagi kes sama berlaku di luar sana.

Ironinya, kes-kes ini berlaku di institusi pendidikan agama yang amat menitikberatkan nilai-nilai murni dan amalan agama. Bukanlah hendak menuding jari, menyalahkan institusi pendidikan agama, cuma dirasakan perlunya pemantauan dan kaedah pengurusan yang lebih baik.

Begitu juga dengan ibubapa yang menganggap dengan menghantar anak-anak untuk belajar ilmu agama sebagai satu penyelesaian kepada kegagalan mereka untuk mendalami agama sebaiknya. Niat ini terbukti sungguh suci, namun ini bukanlah jalan pintas.

"Kami bimbang kerana apabila ada peningkatan terhadap kesedaran Islam, ia menjadi perniagaan yang menguntungkan juga," memetik kata-kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad sepertimana dilaporkan oleh Free Malaysia Today.

"Ibu bapa mahu hantar anak mereka ke sekolah agama dan ini sangat baik, tetapi kerajaan perlu cukup bertanggungjawab dalam pengawasan dan kawalan kualiti sewajarnya bagi memastikan pengusaha tidak hanya mengaut keuntungan," tambah Khalid Samad lagi.

Awal minggu ini, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM80 juta kepada 819 sekolah pondok berdaftar, Sekolah Menengah Agama Rakyat dan institusi tahfiz.

Dengan peruntukan sebanyak itu, boleh membawa perubahan positif kepada institusi pendidikan agama dengan penambahbaikan infrastruktur seperti asrama, kantin, kelas dan sebagainya.

Namun itu hanya sekadar pembaharuan fizikal bagaimana pula dengan pemantauan dan penyeragaman peraturan serta kaedah guna cara dalam pentadbiran institusi pendidikan agama?

Sebelum ini terdapat dakwaan bahawa amat sukar memastikan institusi pendidikan agama seperti madrasah dan sekolah pondok berdaftar di bawah Jabatan Agama Negeri.

"Terdapat sekurang-kurangnya 86 sekolah agama yang beroperasi secara persendirian di Johor dan kami dapati sangat sukar untuk mereka berdaftar dengan JAIJ."

"Walaubagaimanapun, dengan kes yang berlaku ini, kami akan merangka satu peraturan baru untuk sekolah melantik pekerja baru terutamanya yang akan menjaga kebajikan anak-anak ini." memetik kenyataan Abdul Mutalip Abd Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dalam laporan The Star.

Manakala aktivis masyarakat, Syed Azmi mempersoalkan mengapa sukar Jabatan Agama Islam Johor memastikan sekolah agama persendirian berdaftar di bawah seliaan mereka. Syed Azmi menegaskan jika mereka (JAIJ) tidak mempunyai kepakaran untuk merangka peraturan, seharusnya mereka bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mempunyai pelan tindakan lebih bagus dalam menangani isu keselamatan kanak-kanak.

Syed Azmi juga mencadangkan agar setiap sekolah agama dan pondok mempunyai polisi perlindungan kanak-kanak yang dipersetujui oleh semua pihak daripada pihak pengurusan sekolah, warden asrama sehinggalah ibubapa. Polisi ini haruslah dijadikan panduan kepada ibubapa dalam memilih sekolah agama terbaik untuk anak-anak mereka.

Satu perspektif yang berbeza, bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) mencadangkan kerajaan mengharamkan semua sekolah tahfiz persendirian. Beliau berkata tindakan itu lebih berkesan daripada sekadar menyatakan simpati dan takziah.

Zam turut sama menyelar Jabatan-jabatan agama negeri yang seakan-akan ingin lepas tangan daripada isu ini.

"Jabatan-jabatan agama di seluruh negara tidak mengambil berat atau memantau perkembangan ini dengan sewajarnya kerana sentimen agama. Dengan kejadian ini Jabatan-jabatan agama tidak boleh membasuh tangan atau menafikan tanggungjawab," kata Zam.

Pelbagai cadangan dan pandangan diberikan oleh masyarakat sivil untuk dijadikan panduan kepada pihak berwajib. Seharusnya ini dapat menjadikan mereka lebih bersedia dalam mencegah tragedi malang seperti ini berlaku lagi.

Walaupun hajat adik Thaqif untuk menjadi seorang Hafiz tidak kesampaian, tapi beliau telah menghantar satu mesej yang sangat jelas kepada masyarakat; jangan ambil mudah isu keselamatan kanak-kanak.

Marilah kita berusaha bagi memastikan anak-anak kita terus terjamin keselamatan mereka; bebas bermain, bebas belajar apa sahaja tanpa perlu disakiti demi mendapat ilmu. Jangan biarkan kematian adik Thaqif sekadar sia-sia.

Cukup setakat Thaqif.

###

POSTED IN Business TAGGED Thaqif, Sekolah Tahfiz, Johor, Penderaan Kanak-kanak