Apa maknanya perkembangan ekonomi negara kepada rakyat?

Disusun oleh Shahrul Izwan Naser

Di atas kertas, kerajaan melaporkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang lebih daripada 5 peratus pada suku pertama tahun ini dan ia perlu diraikan oleh semua.

Secara amnya, jurang di antara golongan kaya dan miskin juga semakin mengecil, menandakan keadaan ekonomi rakyat Malaysia adalah lebih bagus berbanding 10 tahun dahulu.

Namun realitinya, menurut pengkaji ekonomi dan penulis Dr Muhammed Abdul Khalid, perkembangan ekonomi Malaysia ini tidak membantu sesetengah rakyat Malaysia dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Realitinya juga, ketika ekonomi negara berkembang, jurang pendapatan di antara golongan kaya dan rakyat biasa semakin membesar, kata Muhammed.

Bagi pemilikan aset seperti perbezaan di antara rakyat memiliki hartanah dan aset kewangan juga semakin membimbangkan. Muhammed merupakan penulis bagi buku yang mendapat perhatian ramai, ‘The Colour of Inequality’.

Jurang pendapatan dan pemilikan aset ini disebabkan oleh polisi buruh dan fiskal yang hanya menguntungkan pemilik modal berbanding rakyat biasa, tambah beliau lagi.

“Walaupun berita ekonomi negara berkembang ini menggembirakan, namun terdapat persepsi dalam kalangan rakyat biasa di Malaysia yang tidak mendapat sebarang manfaat daripadanya,” Kata Muhammed sepertimana yang dilaporkan oleh The Malaysian Insight.

Menurut Unit Perancang Ekonomi (EPU), jurang pendapatan isi rumah yang diukur oleh 'Gini co-efficient', jatuh daripada 0.44 pada 2007 kepada 0.40 di tahun 2014. Angka menghampiri 0 bermakna jurang mengecil manakala menghampiri 1 bermakna jurang semakin membesar.

Muhammed menyatakan pola ini menunjukkan terdapat jurang dari segi upah/gaji pendapatan. Angka di atas hanya mengukur jumlah keseluruhan pendapatan dalam sesebuah isi rumah, ini termasuk upah-upah lain dan bantuan kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Secara perbandingan, jurang bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di antara mereka yang menerima gaji tinggi berbanding pekerja gaji purata meningkat kepada 0.658 pada 2014 berbanding 0.652 pada 2009, tegas Muhammad.

Oleh kerana kadar sumbangan dan dividen adalah tetap bagi semua peringkat gaji, jurang dalam simpanan KWSP didorong oleh jurang ketara gaji.

Manakala bagi aset kewangan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), jurang pemilikan di antara pelabur juga kelihatan ketara.

“Pengukuran ‘Gini coefficient’ untuk pemilikan ASB pada tahun 2014 adalah pada kadar 0.836, lebih tinggi berbanding 0.658 untuk KWSP dan 0.401 untuk pendapatan isi rumah.”

Untuk rekod, menurut laporan tahunan ASB, kumpulan bawah (bottom) 72 peratus pemegang saham mempunyai simpanan secara purata sebanyak RM536 dalam akaun mereka. Ini berbeza jika dilihat pada kumpulan atas (top) 0.2 peratus pemegang saham yang mencatatkan simpanan purata sebanyak RM745,038 dalam akaun mereka.

“Untuk jangka masa panjang, aset lebih penting berbanding pendapatan, kerana ia boleh dipindahmilik di antara ibubapa dan waris demi memastikan mereka mempunyai sumber mencukupi bagi mendaki tangga sosial.”

Muhammed menegaskan terdapatnya keperluan untuk reformasi struktural secara mendalam demi menangani jurang ketara, ini termasuk perubahan kepada pasaran buruh, polisi pendidikan dan fiskal.

Sebagai contoh, di masa kini, pendapatan persendirian dikenakan cukai, tapi terdapat polisi yang lemah dalam mengenakan cukai ke atas keuntungan modal seperti aktiviti penjualan hartanah mahupun saham, kata Muhammed lagi.

“Kita kenakan cukai ke atas pendapatan dan penggunaan seperti GST, di mana semua orang dikenakan cukai. Tapi kita tidak kenakan cukai seadilnya di antara golongan miskin, pekerja biasa dan golongan kaya.”

Dan apabila ekonomi tidak menampakkan petanda positif, kerajaan akan memotong subsidi dan perkhidmatan sosial lain yang secara amnya memberikan manfaat kepada golongan miskin.

"Tetapi ini tidak produktif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi memandangkan orang miskin yang umumnya akan berbelanja lebih banyak daripada pendapatan mereka, dengan itu memacu penggunaan swasta yang merupakan enjin pertumbuhan negara. Sebaliknya yang kaya cenderung untuk berjimat-cermat dengan wang mereka.”

*Artikel ini disusun berdasarkan artikel yang diterbitkan di The Malaysian Insight

###