Anugerah Seni Boh Cameronian ke-14

oleh Shahrul Izwan Naser

Teater muzikal Into The Woods yang diterbitkan oleh PAN Productions memenangi anugerah utama --- Produksi Keseluruhan Terbaik di Anugerah Seni Boh Cameronian ke-14 yang berlangsung di Hotel St. Regis Kuala Lumpur pada Ahad malam.

Into The Woods diarahkan oleh Nell Ng merupakan adaptasi daripada cerita dongeng popular oleh The Grimm Brothers.

Manakala Deric Gan Eng Lee dinobatkan sebagai penerima anugerah Pengarah Teater Terbaik bagi hasil kerjanya untuk Richard III yang diadaptasi daripada karya William Shakespeare.

Bagi kategori lakonan, Sukania Venugopal dinamakan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik bagi watak Alta yang dilakonkannya dalam The Language Archive.

Tahun ini, sebanyak 12 anugerah diberikan kepada penggiat seni persembahan berdasarkan enam persembahan dalam senarai “The Best of 2016”. Persembahan yang disenarai pendek antara yang terbaik bagi tahun 2016 adalah Black & White @Variation Rerun 2016, From Soho to Shinjuku: Half Man Half Myth, Into The Woods, Richard III, Shakespeare Goes Bollywood dan The Language Archive.

Anugerah disampaikan mengikut kategori tarian, muzik, teater dan teater muzikal.

Selain itu, malam tersebut turut mengangkat bakat tempatan seperti komposer berpangkalan di Los Angeles, Rendra Zawawi, penerbit dan penggiat filem di UK, Rani Moorthy dan  pemegang rekod 11 kali kejuaraan di Genting World Lion Dance Championship, Kun Seng Keng Lion dan Dragon Dance Association sebagai #gamechangers atas usaha mereka meletakkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Para tetamu dihiburkan dengan persembahan hebat daripada Dina dan Elvira yang membuka tirai anugerah malam itu. Shanel Shanty turut menghiburkan tetamu dengan nyanyian lagu Arena Cahaya yang menjadi lagu tema filem Ola Bola.

Teater muzikal MUD: Our Story of Kuala Lumpur turut sama membuat persembahan. Teater muzikal paling lama dipentaskan di Malaysia tersebut, baru sahaja melabuhkan tirai persembahan terakhir mereka pada penghujung April yang lalu.

Para tetamu juga mengambil kesempatan untuk bertafakur sejenak memperingati bakat-bakat dan penggiat seni tanahair yang telah meninggal dunia.

Tetamu kehormat malam tersebut adalah Yang Berbahagia Tan Sri Norliza Rofli, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

“Seni itu penting kepada setiap masyarakat kerana ia memperkayakan hidup dan membawa kita kepada realiti kehidupan. Seni bukan sahaja memberi kepuasan untuk kita semua, malah ia memberi keyakinan diri kepada golongan muda.”

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah malam ini,” kata Tan Sri Norliza Rofli.

Dianjurkan oleh Boh Plantations dan Persatuan Kakiseni, malam anugerah seni tersebut mengiktiraf bakat anak seni dan hasil kerja tenaga di belakang tabir yang memeriahkan industri seni persembahan di Malaysia dengan produksi bertaraf dunia.

Berikut senarai lengkap penerima Anugerah Seni Boh Cameronian yang ke-14:

Produksi Keseluruhan Terbaik: Into The Woods

Inovasi dalam Teater Muzikal: Mahsuri arahan Shafeeq Shajahan

Pengarah Teater Terbaik: Deric Gan untuk Richard III

Nilai Produksi (Muzik) Terbaik: Carpe Diem oleh Checkmate Creative

Pelakon Pembantu Terbaik: Sukania Venugopal untuk The Language Archive

Persembahan Muzik Instrumental Berkumpulan Terbaik: Hands 1 untuk Percussion Paradise

Persembahan Tarian Berkumpulan Terbaik: Asia Duo Dance Company untuk ‘Cansur’ in Axiomatic

Rekaan Kostum dan Mekap Terbaik (Tarian): Quito Yang untuk Haha (Dua Productions)

Rekaan Bunyi dan Muzik Terbaik (Tarian): Ng Chor Guan untuk 2020: I’m from 2020

Rekaan Set Terbaik: Raja Malik untuk The Language Archive

Koreografi Terbaik dalam Produksi Panjang: Anthony Meh & Aman Yap untuk Black & White Variations

Persembahan Solo Instrumental Muzik Terbaik: Fung Chen Wei untuk "Butterfly Lovers Violin Concerto"

###