Antara obses kulit cerah dan nilai kebersamaan di hari raya ini

Oleh Shahrul Izwan Naser

Beberapa minggu lepas, kita dikejutkan dengan filem pendek (iklan), ‘Legenda Cun Raya’ yang diterbitkan sempena hari raya Aidilfitri oleh Watsons Malaysia. Iklan yang berdurasi lebih dari 10 minit itu menerima kecaman daripada pelbagai pihak kerana dikatakan tidak sensitif dan bersifat perkauman terhadap wanita berkulit hitam (gelap).

Menampilkan selebriti terkemuka negara, iklan itu menceritakan kisah para puteri dan jelitawan yang cuba memenangi hati seorang saudagar kaya. Para pengguna di media sosial turut menggelar iklan itu sebagai seksis, hambar dan tidak boleh dimaafkan.

Setelah 12 jam dimuatnaik ke laman sosial, Watsons Malaysia telah menurunkan iklan itu dan mengeluarkan kenyataan meminta maaf kepada masyarakat Malaysia di atas kekecohan yang terjadi.

“Kami dengan rasa yang teramat kesal memohon ampun dan maaf di atas video terbaru kami “Legenda Cun Raya’ yang dikeluarkan pada media sosial di Malaysia. 

“Video 15 minit itu diilhamkan oleh legenda Melayu, Dayang Senandong yang dipopularkan pada tahun 1965 dalam filem “Dayang Senandong”. Niat kami adalah untuk menyampaikan konsep kecantikan dalaman dan luaran, malangnya video itu telah menyinggung perasaan ramai pihak.

“Dengan rasa yang teramat kesal, kami mengakui bahawa video ‘Legenda Cun Raya’ tidak selari dengan nilai-nilai yang kita hargai di Malaysia. Watsons Malaysia mengambil tanggungjawab di atas video dan kandungannya termasuk beberapa unsur-unsur yang telah menyinggung perasaan ramai pihak."

Itu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pengurus Besar dan Ketua Negara Watsons Malaysia, Caryn Loh dalam satu kenyataan media.

Kita semua tahu Watsons Malaysia berada dalam keadaan sangat kalut oleh kerana iklan raya mereka kali ini tidak menjadi. Namun kita tidak seharusnya meletakkan kesalahan 100 peratus ke atas Watsons Malaysia, kerana kenyataannya, masyarakat kita berasa ‘tidak mengapa’ mempersendakan orang yang berkulit gelap dan betapa kita obses untuk mencerahkan kulit --- kerana itu adalah definisi cantik bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Begitulah juga peluang yang dilihat oleh jutawan kosmetik yang berlumba-lumba menghasilkan produk pencerahan kulit kerana terdapatnya permintaan dan definisi ‘separuh masak’ mengenai kecantikan. Para jutawan kosmetik ini pula tanpa segan silu mengeluarkan kempen pemasaran yang memandang rendah mereka berkulit gelap dan betapa dengan berkulit cerah, maka cerah masa depan anda.

Lihat sahajalah jumlah tontonan yang tinggi bagi program-program TV seperti siaran langsung anugerah dan drama rantaian yang dimomokkan dengan mesej ‘kecantikan’ mereka. Mengapakah perkara ini diterima sebagai norma baru dalam masyarakat? Ini kerana mereka mempunyai pengikut dan dipandang tinggi kerana status mereka sebagai usahawan yang berjaya.

Mungkin selama ini sudah tertanam di minda dan sanubari kita yang berkulit gelap itu tidak cantik dan menarik. Sudah tiba masanya kita buang jauh-jauh pemikiran tersebut dan memberi definisi baru mengenai kecantikan.

Tujuan artikel ini ditulis bukan untuk memberi penekanan kepada nilai negatif yang sedikit sebanyak menganggu mood kita untuk menyambut hari raya. Marilah kita memberi tumpuan terhadap nilai kebersamaan seperti kekeluargaan, simpati dan empati kepada mereka yang memerlukan. Ini lebih penting dan berbaloi kerana ia bersifat ‘good things grow’. Dan apabila menjelang hari raya, kita dapat lihat nilai-nilai kebersamaan ini dipaparkan dalam iklan raya yang melangkaui sifat komersialisme sesuatu jenama.

Berikut, kami paparkan iklan raya yang menarik perhatian pada tahun ini.

Iklan Raya Malaysia Airlines 2017 | #RayaAroundTheWorld

Iklan yang berjudul 'Raya Around the World' ini merupakan julung kalinya, Malaysia Airlines memaparkan bagaimana hari raya disambut di seluruh dunia. 

Ia menyampaikan mesej yang mudah tetapi berharga --- bagaimana dengan meneroka dunia dapat membuka perspektif yang baru kepada kita. Iklan ini sememangnya membangkitkan nilai-nilai kebersamaan dan penerimaan kita terhadap pelbagai amalan budaya.  

Iklan Aidilfitri Astro - Kisah Benar Adli & Luqman: Dari Hati Ayah

Keunikan iklan ini apabila memaparkan kisah benar mengenai Adli Yahya yang mempunyai anak autisme ini memberi inspirasi kepada ramai. Iklan ini memberikan justifikasi yang kita perlu memaafkan diri sendiri jika kita ingin meneruskan kehidupan ini dengan rasa hati yang tenang. 

Rata-rata pengguna media sosial yang sudah menonton kisah Adli Yahya dan Luqman ini memberikan komen positif dan tersentuh hati dengan jalan cerita yang dipaparkan.

KFC RAYA 2017: Joget Abah

Iklan ini begitu istimewa kerana menerapkan konsep pengekalan tradisi dan bagaimana seorang anak kecil cuba memahami apa yang dilakukan oleh ayahnya setiap kali menjelang hari raya.

Setakat artikel ini ditulis, iklan raya KFC ini telah menerima lebih daripada 500 ribu tontonan di Youtube sejak ia dimuatnaik awal minggu lepas.

 Iklan Raya TNB 2017 - Dugaan Raya Aida

Ini kisah Aida, seorang anak dan kakak yang berusaha membawa keceriaan kepada keluarganya di hari raya. Aida terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan namun akhirnya, yang paling penting di hari raya adalah untuk berkumpul bersama keluarga tercinta.

Mungkin iklan raya daripada TNB ini merupakan iklan yang paling kreatif untuk tahun 2017. Jalan cerita yang mudah, ditambah dengan suntingan dan kesan khas menarik, menjadikan iklan ini berbeza daripada yang lain. Menariknya, terdapat pelbagai lagi kandungan video dan sambungan iklan raya ini dalam bentuk video muzik lagu raya.

Iklan Hari Raya Pelaburan MARA 2017 - Ikhlas

Iklan raya memang tidak lengkap dengan jalan cerita yang menuntut permainan emosi. Iklan raya daripada Pelaburan MARA ini membuatkan penonton mengalirkan air mata kerana jalan ceritanya yang melibatkan tragedi hitam empat beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata apabila keluarga mereka terlibat dalam satu kemalangan.

Kehilangan orang yang disayangi adalah amat memilukan. Adakah masih wujud hati yang ikhlas untuk meringankan beban anak-anak ini?

Wayang Sayang – Filem Raya Maxis 2017

Iklan raya Maxis ini meneroka tema bukan semua perhubungan itu sempurna. Sesuatu perhubungan itu bermula dengan saat yang indah tapi lama kelamaan ia pasti akan pudar. Walaupun pasangan bercinta #tilljannah pun belum tentu dapat memastikan perhubungan tersebut berkekalan ke akhir hayat.

Iklan ini memberikan satu mesej yang sangat penting --- jangan pernah berputus asa dalam perhubungan. Walaupun bermain emosi yang sangat berat, terdapat juga saat-saat yang mencuit hati dalam iklan raya tersebut.

Iklan-iklan raya yang memaparkan premis nilai kebersamaan seperti nilai kekeluargaan menjadikan kita lebih sensitif dan menghargai kehidupan kita dengan lebih baik. Apakah iklan raya pilihan anda untuk tahun ini? Kongsikannya bersama kami di ruangan komen di bawah.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin daripada keluarga kami di BFM89.9.

###

BONUS PODCAST

HAPPILY EVER AFTER? #8: CONTROVERSIAL FOLK TALES | Ninot Aziz & Ahmad Fuad Rahmat

Happily Ever After? -- the show where we revisit the fairy tales we fell in love with once upon a time. A recent advertising kerfuffle has revived or reintroduced Malaysians to Dayang Senandung, an old Malay folklore that tells the tale of a cursed princess with a melodious voice. Is it a moral tale about society's obsession with outer beauty, or a blatant account of racism and prejudice against skin colour?

CRUISING THROUGH MALAYSIAN LEGENDS | Kam Raslan, Umapagan Ampikaipakan & Zan Azlee

Kam starts off the episode by talking about the one and only Tom Cruise, the actor who he thinks is one the last few real Hollywood stars. Uma then goes on to discuss the phenomenon that is Trump's impulsive tweeting while Zan mulls over traditional folklore and the problem of adapting their traditional values for our modern sensibilities.