B-Side 5 perkara utama yang dipelajari menerusi kajian terbesar golongan muda

5 perkara utama yang dipelajari menerusi kajian terbesar golongan muda

5 perkara utama yang dipelajari menerusi kajian terbesar golongan muda

disusun oleh Shahrul Izwan Naser

Golongan muda merasakan suara mereka tidak didengari oleh pemimpin dunia. Dengan separuh populasi dunia berumur di bawah 30 tahun, tidak lama lagi, suara mereka akan terus berkumandang.

Hampir 25 ribu golongan muda berusia 18 hingga 35 tahun dari 186 negara mengambil bahagian dalam sebuah kaji selidik; Global Shapers Annual Survey 2017. Menerusi kaji selidik tersebut, 55.9 peratus responden percaya pandangan mereka tidak diambilkira sebelum sesuatu keputusan penting dibuat.

Namun begitu, pengaruh golongan muda semakin kuat apabila mendominasi pasaran tenaga kerja, kelayakan mengundi dan kuasa membeli mereka yang semakin membesar.

Dapatan daripada kaji selidik tersebut dikumpulkan oleh Komuniti 'Global Shapers' Forum Ekonomi Dunia - menawarkan pandangan yang menarik tentang bagaimana golongan muda melihat dunia dan cabarannya.

Pemerintah, perniagaan dan institusi lain yang mengabaikan suara golongan muda dilihat berada di ambang bahaya.

Berikut adalah lima perkara utama yang boleh dipelajari daripada kaji selidik tersebut:

1. Golongan muda sangat mengambil berat mengenai perubahan iklim

Di antara isu dunia yang mendesak, golongan muda paling mengambil berat mengenai impak perubahan iklim kepada kemusnahan alam sekitar.

Ini merupakan kali ketiga berturut-turut perubahan iklim diundi sebagai isu global paling mendesak, memberikan gambaran bahawa golongan muda masih tidak berkeyakinan terhadap usaha global menanganinya - sepertimana Perjanjian Paris yang belum menampakkan hasil signifikan.

Ketidakstabilan global, peperangan dan ketidakadilan merupakan isu-isu global besar lain yang menarik perhatian golongan muda.

Kemiskinan, konflik agama, akauntabiliti dan ketelusan kerajaan juga menjadi isu utama dalam kalangan golongan muda.

2. Golongan muda tidak mempercayai media, konglomerat perniagaan dan kerajaan

Penularan berita-berita palsu sepanjang pilihanraya umum yang diadakan di seluruh dunia memberikan petunjuk goolongan muda semakin kurang mempercayai media.

Daripada keseluruhan responden, hanya 30 peratus menyatakan rasa percaya kepada media berbanding hampir 46 peratus yang menyatakan sebaliknya.

Sentimen yang sama turut dirasai oleh syarikat-syarikat besar, institusi kewangan dan kerajaan. Ini dapat ditunjukkan berdasarkan peratusan (22.7 peratus) golongan muda yang bimbang mengenai isu rasuah dan penyelewengan.

Institusi yang mendapat kepercayaan golongan muda adalah institusi pendidikan, institusi antarabangsa, majikan dan institusi undang-undang/kehakiman.

3. Golongan muda tidak malas, malah kuat bekerja

Terdapat persepsi yang salah terhadap golongan muda dan kerjaya mereka. Kaji selidik tersebut mendapati golongan muda sangat memberikan keutamaan kepada kerjaya mereka.

Berdasarkan persoalan yang ditanya - apakah kriteria utama dalam mempertimbangkan sesebuah peluang pekerjaan, gaji/upah mendapat undian tertinggi, diikuti dengan tujuan kerjaya serta mobilisasi kerjaya.

Hanya 16 peratus responden menyatakan mereka sanggup mengorbankan kerjaya dan upah/gaji untuk menikmati kehidupan.

Bagi membuktikan lagi golongan muda bukannya malas, kaji selidik itu juga mendapat majoriti responden (81.1 peratus) sanggup berhijrah ke luar negara demi kemajuan kerjaya mereka.

Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan Australia menjadi negara idaman para responden untuk berhijrah demi peluang pekerjaan.

4. Golongan muda optimistik mengenai teknologi

Kemajuan teknologi beberapa tahun kebelakangan ini telah membangkitkan kebimbangan masyarakat keseluruhannya mengenai isu majikan akan menggantikan pekerja dengan mesin dan robot.

Walau bagaimanapun, golongan muda (78.6 peratus) sebaliknya mempercayai teknologi akan mencipta peluang pekerjaan.

Ditanya mengenai trend teknologi terbesar di masa hadapan, 28 peratus responden menyatakan kepintaran buatan (AI) akan memberikan impak signifikan.

Pendidikan pula dilihat sebagai sektor yang bakal kurang mendapat manfaat daripada teknologi baru.

Manakala hanya 3.1 peratus responden menyatakan mereka akan mempercayai robot membuat keputusan/pilihan untuk mereka.

Apabila ditanya mengenai kebarangkalian untuk menanam implan/cip perkomputeran ke dalam tubuh badan manusia, 44.3 peratus responden menolak konsep dan idea tersebut.

5. Golongan muda mengambil berat mengenai orang lain

Golongan muda masa kini merupakan generasi yang penuh empati. Hakikatnya, 73.6 peratus responden menyatakan mereka mengalu-alukan kedatangan pelarian dan pemohon suaka politik ke negara mereka.

Ditanya mengenai bagaimana kerajaan harus berdepan dengan krisis pelarian global, hampir separuh (55.4 peratus) menyatakan pelarian harus dibenarkan bekerja dan diberikan peluang pekerjaan. Hanya 3.5 peratus menyatakan pelarian harus dihantar pulang ke negara asal mereka.

Dalam senario ketidaktentuan global dan pergerakan terhadap isolasi, majoriti golongan muda (86.5 peratus) melihat diri mereka sebagai sekadar 'manusia', yang bertentangan dengan mengenalpasti seseorang itu berdasarkan kewarganegaraan, agama atau bangsa.

Anda boleh melihat hasil dapatan Global Shapers Annual Survey 2017 selebihnya di SINI.

###

POSTED IN Business TAGGED