33 tahun yang indah buat Sheila Majid

Oleh Shahrul Izwan Naser

BFM89.9 menemubual Ratu Jazz negara mengenai perjalanan seni beliau sepanjang 33 tahun dalam slot Cerita-cerita Rock N' Roll.

33 tahun bukan satu jangka masa yang pendek. Banyak yang boleh berlaku, tidak kurang juga banyak boleh dicapai. Ada yang dikurniakan perjalanan mudah, tidak kurang juga disulami cabaran dan dugaan. Itulah yang boleh digambarkan perjalanan seni sosok kecil bernama Sheila Majid --- 33 tahun yang bukan mudah, dipenuhi air mata, keringat dan senyuman namun cukup indah.  

Kecintaannya terhadap muzik telah membawanya merata, ke seluruh dunia. Pertama kali menyanyi di pentas antarabangsa, ketika tahun 1988, Sheila Majid melakukan siri jelajah di Indonesia -- pencapaian hebat anak Malaysia yang jarang menembusi pasaran ‘tertutup’ Indonesia.

Dengarkan podcast temubual ini:

CERITA-CERITA ROCK N’ ROLL FEAT. DATUK SHEILA MAJID

Suaranya turut sama didengari secara langsung di Festival Muzik Tokyo pada tahun 1989. Tidak terhad dalam ruang lingkup Asia, pencinta muzik dari Barat (London dan Los Angeles) turut menikmati suara merdu Ratu Jazz negara itu. Itu adalah bukti karya seni Sheila Majid berjaya memecah tembok bahasa dan latar belakang peminat.

Buah tangan terbaru

Ketika ditemubual bersama BFM89.9, Sheila Majid yang sememangnya mesra dan petah berbicara, menjadikan studio kami yang dingin itu hangat dengan keletah penyanyi genit yang popular dengan lagu Sinaran.

Sheila Majid sangat teruja bercakap mengenai album yang baru sahaja dilancarkan pada 11 April lalu. Boneka -- hadiah kepada peminatnya setelah 13 tahun menyepi tanpa album penuh.

Mengambil masa 3 tahun untuk disudahkan, Boneka hasil daripada kerencaman citarasa tinggi Sheila Majid dalam muzik.

“Dalam sesebuah lagu, saya melihat kepada melodi. Muzik itu satu seni. Ia perlu melodi yang hebat. Lagu-lagu yang dihasilkan sekarang seakan tidak ada ‘jiwa’. Muzik perlu jadi penggerak emosi bila kita mendengarnya. Ia perlu jadi puitis.”

“Oleh sebab itulah saya mengalami kesukaran memilih material untuk album baru ini. Lebih 100 buah lagu diberikan oleh pihak pengurusan saya, namun hanya beberapa sahaja yang menambat hati. Bukan saya tidak suka lagu-lagu yang lain, cuma ia tidak mencerminkan siapa itu Sheila Majid.”

“Apa yang saya suka, peminat saya sudah pasti meminatinya juga,” kata Sheila Majid ketika menceritakan pengalaman menghasilkan album terbarunya itu.

Generasi ke generasi

Industri muzik Malaysia sangat berwarna-warni kerana mempunyai bakat-bakat hebat. Penyanyi wanita Malaysia memberikan kepelbagaian dalam muzik daripada kelunakan suara Saloma, Sharifah Aini, Khatijah Ibrahim sehingga citarasa generasi baru seperti Ning Baizura, Dayang Nurfaizah, Siti Nurhaliza dan Yuna. Satu persamaan yang menyatukan kesemua penyanyi-penyanyi wanita hebat ini adalah kerja kuat.

Bagi Sheila Majid, kerja kuat bermaksud kepintaran mengatur perjalanan dan proses penghasilan karya seni. Bakat sahaja tidak mencukupi untuk kekal lama dalam industri -- menyuarakan kebimbangannya kepada industri muzik masa kini, Sheila merasakan perlunya beliau menegur artis generasi baru.

“Saya berasa kagum dan bangga dengan artis-artis baru. Mereka memiliki bakat semulajadi. Sayangnya, karya seni mereka tidak mencapai mutu yang diharapkan. Mereka tidak boleh bekerja sendirian -- perlu ada pasukan di sebalik produk mereka.”

“Kerjasama dengan mereka yang pakar dan berpengalaman dalam muzik dapat menghasilkan sesuatu produk seni yang berkualiti dan dapat kekal bertahun lamanya.”

“Saya juga ingin mengajak artis generasi baru datang ke konsert saya, untuk merasai bagaimana kualiti kerja berpasukan dan betapa pentingya perincian dalam kerja memberikan pengalaman berbeza kepada peminat.”

Sheila Majid juga mengingatkan industri muzik tempatan perlu terus bekerjasama menghasilkan produk berkualiti dan hebat agar Malaysia tidak ketandusan idea serta terus berkembang dengan kecemerlangan karya seni.

Muzik itu universal

Realitinya di Malaysia, hanya beberapa artis sahaja yang berjaya menembusi latar belakang berbeza, tidak sekadar hanya tertumpu kepada sesuatu khalayak. Artis-artis seperti Zainal Abidin, Alleycats, Sudirman, Francesca Peters, Yuna dan Sheila Majid tidak terkecuali berjaya menambat hati peminat muzik merentasi latar belakang bahasa dan budaya yang berbeza.

“Muzik itu sifatnya universal. Jika melodinya indah, sudah pasti semua orang akan suka. Lagu saya -- Di sisi daku dan Mengapa kasih -- pernah dirakamkan oleh Anita Mui dengan liriknya diterjemah ke dalam bahasa Kantonis.”

“Artis-artis dari China apabila melakukan persembahan di Malaysia, ada yang menyanyikan lagu Legenda dan Sinaran dalam bahasa Mandarin. Lagu bukan hanya perlu melodi yang indah, liriknya juga perlu puitis agar ia mudah terkesan di hati peminat.”

Perjalanan seni 33 tahun

Boleh dikatakan setiap album Sheila Majid menghasilkan banyak lagu hits. Sinaran, Warna, Legenda, Kumohon dan Antara Anyer dan Jakarta -- antara yang terus kekal malar segar di telinga peminat.

Berbicara mengenai Antara Anyer dan Jakarta, ada cerita menarik di sebalik lagu yang dicipta oleh komposer dari negara seberang, Oddie Agam.

“Oddie Agam adalah sahabat kepada abang saya. Beliau datang ke Kuala Lumpur untuk bercuti. Abang saya memberitahu beliau yang saya seorang penyanyi baru. Beliau bermain piano di rumah saya dan berkata lagu itu (Antara Anyer dan Jakarta) sangat sesuai dengan suara saya. Beliau juga memberikan lagu Tua Sebelum Waktu kepada saya.”

“Apabila siap, Oddie memberikan lagu itu kepada stesen radio di Indonesia. Menariknya, beliau tidak memberitahu siapakah penyanyi di sebalik lagu itu dan mereka beranggapan bahawa ia dinyanyikan oleh gadis Indonesia yang sedang belajar di luar negara. Ia mendapat permintaan tinggi dan terus diputar sehingga menjadi hits di sana.”

Setelah menduduki tangga teratas di stesen-stesen radio Indonesia, mereka membawa Sheila Majid ke sana dan barulah mereka tahu yang penyanyi Antara Anyer dan Jakarta, adalah gadis dari Malaysia. Bermula dari saat itu, Sheila Majid terus menempa populariti di Indonesia sehingga ke hari ini.

Mengimbas kembali ke titik permulaan 33 tahun dalam industri muzik, album pertamanya -- Dimensi Baru -- sekadar satu percubaan ketika menunggu keputusan SPM. Anak bongsu daripada 8 beradik ini menceritakan detik bagaimana beliau mendapat restu daripada kedua ibubapanya untuk menceburi bidang nyanyian.

“Bapa saya sangat menitikberatkan jika kita ingin membuat sesuatu, kita harus lakukannya dengan sepenuh hati. Beliau juga menasihati saya, kita tidak perlu memberitahu orang lain yang kita bagus, biarlah mereka menilai sejauh mana berkualitinya hasil kerja kita. Kata-kata ini saya pegang sampai sekarang.”

Kini setelah lebih 10 album studio dan kompilasi terbaik, Boneka hadir dengan pelbagai cabaran. Menghasilkan album penuh di era media sosial menuntut kesungguhan, apatah lagi memenuhi harapan peminat-peminat setia menyokong pembabitan Sheila Majid dalam industri muzik selama 30 tahun.

“Sebenarnya saya sudah tidak mahu menghasilkan album baru setelah kali terakhir pada tahun 2004. Dengan persaingan digital dan media sosial, menjadikannya sangat payah.”

“Kerana ingin memberikan sesuatu kelainan, album Boneka ini mengambil masa 3 tahun untuk dihasilkan. Inilah hadiah penghargaan saya kepada para peminat yang menjadikan kerjaya seni saya sangat indah dan bertahan ke hari ini.”

Sempena 33 tahun dalam industri muzik, penerima Anugerah Wirama di Anugerah Industri Muzik 2016 ini bukan sahaja menghadiahkan para peminatnya dengan sebuah album penuh, malah peminat juga dikejutkan dengan pengumuman sebuah konsert mega -- Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 yang bakal dilangsungkan pada 5 Ogos depan di Stadium Negara. Lokasi yang sama sepertimana konsert besar-besaran beliau pada tahun 1991.

Sheila Majid berharap agar peminat-peminat beliau berpeluang menghadiri konsert yang bakal menjanjikan kelainan dan kenangan manis kepada semua.

“Saya harap generasi baru dan para peminat hadir ke konsert saya untuk menunjukkan sokongan kepada industri muzik tempatan. Saya mahu buktikan kepada semua yang muzik kita setaraf industri muzik antarabangsa dan kita juga boleh melakukannya,” Sheila Majid mengakhiri temubualnya bersama BFM89.9 dalam slot Cerita-cerita Rock N’ Roll.

Anda boleh mendengarkan semula temubual ini menerusi podcast kami di SINI.

INFOGRAFIK: 33 TAHUN PERJALANAN SENI SHEILA MAJID

Loading...

Loading...

###