B-Side 10 Teknologi Utama untuk tahun 2017

10 Teknologi Utama untuk tahun 2017

10 Teknologi Utama untuk tahun 2017

Disusun oleh Shahrul Izwan Naser

Pelbagai teknologi baru muncul untuk tahun 2017, ini termasuk 'daun tiruan' yang mampu menukar karbon dioksida kepada bahan api, tidak kurang juga dengan teknik tuaian air menerusi udara --- semua ini tidak lama lagi akan memainkan peranan dalam menangani cabaran mendesak di dunia, sepertimana yang diterbitkan Forum Ekonomi Dunia baru-baru ini.

Senarai teknologi ini telah dipilih oleh Jaringan Pakar Forum Ekonomi Dunia dan Majlis Masa Depan Global dengan kerjasama majalah Scientific American.

Setiap teknologi dipilih berdasarkan potensi untuk meningkatkan taraf kehidupan, keupayaan untuk transformasi industri dan menepati ciri-ciri keselamatan dan kemampanan alam sekitar.  Selain itu, pakar-pakar juga melihat kepada kriteria kematangan teknologi yang sudah tiba masa untuk dikomersial dengan pantas dalam 3-5 tahun akan datang.

"Teknologi baru memberikan definisi baru kepada industri, menjadikan sempadan tradisional semakin kabur dan mencipta peluang dalam skala baru yang belum pernah kita lihat sebelum ini. Sektor awam dan swasta harus membulatkan usaha bagi mencipta polisi yang sebaiknya, protokol dan kolaborasi yang menggalakkan inovasi demi masa depan yang lebih baik sambil mengurangkan risiko pada perubahan teknologi," kata Murat Sonmez, Ketua Pusat Revolusi Perindustrian Keempat dan Ahli Lembaga Pengurusan Forum Ekonomi Dunia.

Berikut 10 Teknologi Utama yang memasuki senarai tersebut:

1. Biopsi Cecair

Biopsi Cecair menandakan satu langkah ke hadapan dalam memerangi kanser. Pertama, teknologi ini adalah alternatif kepada biopsi tisu tradisional yang dianggap mustahil sebelum ini. Kedua, ia menyediakan spektrum maklumat penuh berbanding dengan sampel tisu yang hanya mencerminkan maklumat yang ada dalam sampel.

Akhir sekali, dengan menempatkan DNA kanser (ctDNA) pada satu perumah, dapat menghalang sel kanser daripada memasuki saluran darah sekaligus dapat mengawal perkembangan kanser dan merawatnya dengan lebih awal lagi. Teknologi ini lebih pantas daripada mengesan kanser menerusi simptom dan pengimejan.

2. Penuaian Air menerusi udara

Keupayaan untuk mengekstrak air daripada udara bukanlah sesuatu yang baru, namun memerlukan kadar kelembapan yang tinggi dan menggunakan banyak tenaga elektrik.

Tapi kini segalanya berubah. Sebuah pasukan kajian daripada MIT dan University of California, Berkeley telah berjaya menjalankan ujikaji menggunakan kristal berliang yang dapat menukar udara kepada air tanpa menggunakan sebarang tenaga. Satu lagi kaedah yang digunapakai oleh sebuah start-up dari Arizona, Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Zero Mass Water, berjaya menghasilkan 2-5 liter sehari menggunakan sistem suria luar grid.

3. Pembelajaran Mendalam untuk tugas-tugas visual (Deep Learning for Visual Tasks)

Komputer semakin mahir mengenalpasti imej dengan lebih baik berbanding manusia. Dengan adanya pembelajaran mendalam, salah satu cabang kepintaran buatan, ini telah mencipta teknologi penglihatan komputer yang telah digunapakai secara meluas untuk kenderaan pandu-sendiri, diagnostik kesihatan, penilaian kerosakan harta benda untuk tuntutan insurans, pemantauan paras air dan tanaman.

4. Bahan bakar cecair dari sumber matahari

Mampukah kita meniru proses fotosintesis daun untuk menghasilkan dan menyimpan tenaga? Ternyata teknologi ini mempunyai prospek yang positif.

Teknologi ini menggunakan pemangkin yang diaktifkan menggunakan cahaya matahari bagi memisahkan molekul air kepada cecair dan hidrogen, kemudian menggunakan hidrogen yang sama untuk menukar karbon dioksida kepada hidrokarbon.

Teknologi ini mempunyai sistem tertutup di mana pembebasan karbon dioksida menerusi pembakaran, ditukar menjadi bahan bakar semula daripada dibebaskan ke atmosfera --- membuktikan teknologi ini mampu membawa revolusi untuk industri tenaga hijau.

5. Atlas Sel Manusia

Sebuah kolaborasi antarabangsa yang bertujuan merungkai tubuh badan manusia yang dipanggil Atlas Sel Manusia, dilancarkan pada Oktober 2016. Projek ini mendapat sokongan daripada Chan Zuckerberg Initiative, mensasarkan untuk mengenalpasti setiap jenis sel dalam setiap tisu --- untuk memahami jenis gen, protein dan molekul lain yang aktif dan mengawal aktiviti dalam sel.

Ia juga dapat menentukan di mana kedudukan sel tersebut; bagaimana setiap sel berinteraksi di antara satu sama lain dan bagaimana badan berfungsi apabila genetik atau aspek lain sesuatu sel mengalami perubahan. Hasil daripada projek ini sememangnya dapat membawa perubahan positif dan sangat bermanfaat untuk sektor penjagaan kesihatan.

6. Teknologi untuk Perladangan (Precision Farming)

Revolusi Perindustrian Keempat kini menyediakan petani dengan alatan baharu yang dapat membantu mempertingkatkan kualiti dan kuantiti hasil tanaman, pada masa sama mengurangkan penggunaan air dan bahan kimia.

Sensor, robot, GPS, alatan pemetaan dan program bagi analisis data digunakan bagi menentukan hasil tanaman sepertimana yang dimahukan. Dengan prospek penggunaan dron bagi melihat keadaan tanaman, mungkin terlalu canggih buat sesetengah petani. Namun begitu, terdapat teknologi mudah yang juga boleh digunapakai.

Sebagai contoh, Salah Sukkarieh daripada University of Sydney berkongsi mengenai sistem pemantauan yang diselaraskan dengan kos rendah di Indonesia, hanya menggunapakai tenaga suria dan telefon bimbit.

7. Pemangkin untuk kenderaan mesra alam yang lebih murah

Kemajuan kini tercipta bagi teknologi sifar pelepasan (zero-emission); sel bahan bakar menggunakan hidrogen. Selama ini, tiada sebarang kemajuan bagi teknologi ini kerana industri terbeban dengan harga pemangkin yang tinggi kerana dihasilkan daripada platinum.

Banyak perubahan telah dilakukan demi mengurangkan kebergantungan kepada bahan logam yang jarang ditemui dan mahal harganya itu. Pembangunan teknologi kenderaan mesra alam kini menggunakan pemangkin bukan platinum, dan dalam sesetengah kes, tidak menggunakan sebarang logam.

8. Vaksin Genomik

Vaksin berdasarkan gen adalah lebih mujarab berbanding vaksin konvensional. Ia lebih cepat dihasilkan, ini sangat penting jika terdapat serangan wabak penyakit. Jika dibandingkan penghasilan vaksin konvensional melalui proses kultur sel dan pengeraman telur ---- penghasilan vaksin secara genetik lebih mudah dan murah.

Penggunaan vaksin berasaskan genomik juga mempercepatkan penyesuaian dalam keadaan patogen bermutasi dan saintis dapat mengenalpasti individu yang mempunyai daya tahan tinggi terhadap patogen; mengasingkan antibodi memberikan perlindungan dan merekabentuk turutan gen dan akhirnya menggalakkan sel seseorang untuk menghasilkan antibodi tersebut.

9. Rekabentuk komuniti yang lebih mampan

Dengan menggunapakai kaedah lestari untuk membina pelbagai bangunan dalam masa serentak, berpotensi membawa revolusi kepada jumlah tenaga dan air yang bakal digunakan. Dengan menghantar tenaga suria yang dijana sendiri oleh sesuatu bangunan kepada mikrogrid pintar dapat mengurangkan penggunaan elektrik hampir 50 peratus berbanding biasa dan menjadikannya sifar pembebasan karbon jika projek yang dalam fasa pembangunan oleh University of California, Berkeley berjalan dengan lancar kelak.

Selain itu, plan daripada projek sama juga merekabentuk semula sistem air, supaya air kumbahan daripada tandas dan longkang dirawat dan diguna semula di sesuatu bangunan, manakala air hujan akan disalurkan ke dalam tandas dan mesin pencuci. Plan dan teknologi daripada projek ini dijangka akan mengurangkan permintaan hampir 70% bekalan air bersih.

10. Perkomputeran Kuantum

Potensi sebenar komputer kuantum sebelum ini hanya boleh dipadankan dengan kerumitan dan kos yang mahal bagi membinanya. Ini menjelaskan mengapa komputer super tersebut yang bersaiz kecil, masih belum menunjukkan kehebatannya.

Namun kemajuan sedang dilaksanakan kerana pada tahun 2016, firma teknologi IBM memberikan akses untuk komputer kuantum pertama secara 'cloud computing' kepada masyarakat umum. Sehingga kini, sudah lebih 20 kertas kerja akademik telah diterbitkan dan lebih 50 start-up dan syarikat korporat di seluruh dunia memberi perhatian untuk menjadikan perkomputeran kuantum, satu realiti.

*Artikel ini disusun daripada artikel asal yang diterbitkan di Forum Ekonomi Dunia.

###

POSTED IN Business TAGGED